BN Yakin Tawan Semula Pulau Pinang

Diterbitkan: Ahad, 13 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TASEK GELUGOR: Barisan Nasional (BN) yakin dapat menawan semula negeri yang kini ditadbir pembangkang termasuk Pulau Pinang, pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata keyakinan itu bersandarkan kejayaan pelbagai inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN.

"Dulu kalah di pelbagai tempat sebab ada tsunami politik. Sekarang ini telah dihentikan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan seluruh pasukan dengan pelbagai produk 1Malaysia yang ada 20 jenama untuk semua kumpulan.

"Kita ada NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara), pelbagai program transformasi seperti transformasi kerajaan, ekonomi, luar bandar, politik dan digital. Program turun padang, tinjauan mesra...semuanya ini amat digemari oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Focus Group Youth Sports Challenge, di sini, Ahad.

Selain itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata pelbagai isu yang melanda negeri di bawah kuasa pembangkang juga memberi nilai tambah kepada perjuangan BN.

"Tidak ada perkara yang mustahil dalam politik. Dulu kita (BN) memerintah (di negeri terbabit), sekarang mereka (pembangkang) memerintah. Selepas ini kita pula yang akan memerintah," katanya.

Program Focus Group Youth Sports Challenge anjuran Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang itu memberi peluang kepada golongan belia menyertai pelbagai aktiviti sukan antaranya futsal, paintball, bola jaring dan sepak raga tuju. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan