KL112: Polis Tubuh Marshal Bantu Petugas Media

Diterbitkan: Jumaat, 11 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Komander Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Datuk Abdul Hamid Mohd Ali memberi taklimat kepada petugas media mengenai perhimpunan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Khamis. -fotoBERNAMA
Komander Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Datuk Abdul Hamid Mohd Ali memberi taklimat kepada petugas media mengenai perhimpunan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Khamis. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Petugas media yang akan membuat liputan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) Sabtu ini akan dibantu oleh kira-kira 50 orang marshal terdiri daripada anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, Kumpulan marshal berkenaan ditugaskan khusus untuk memastikan keselamatan petugas media terkawal serta membantu mengiringi mereka ke lokasi-lokasi tertentu di sekitar Stadium Merdeka yang menjadi lokasi perhimpunan.

"Kami belajar daripada pengalaman lalu terutama semasa perhimpunan Bersih 3.0 dan Bersih 2.0 apabila ada petugas media yang tercedera.

"Jadi kita tak mahu insiden ini berulang lagi.Malah ini adalah kali pertama kita sediakan marshal khusus untuk membantu pihak media," katanya pada sesi taklimat media di Bukit Aman di sini, Khamis.

Menurut Abdul Hamid, kumpulan marshal itu akan ditempatkan di Balai Polis Tun H.S Lee yang dijadikan sebagai pusat operasi media sempena KL112.

Jelas beliau, marshal akan sedaya upaya membantu dan memenuhi keperluan media walaupun jika terpaksa mengiringi wartawan ataupun jurugambar melepasi ke kawasan tertentu yang dihalang kepada orang awam.

"Sebagai contoh marshall akan mengiringi pengamal media ke lokasi tertentu berdasarkan permintaan.

"Bagaimanapun ia tidak bermakna bahawa kita menyekat pergerakan media...ia akan menjadi lebih selamat dan berkesan jika marshal yang mengiringi mereka. Tetapi media masih dibenarkan untuk bergerak bebas, dengan syarat bukan di kawasan yang berbahaya," katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata sebanyak lebih 300 pas media dikeluarkan oleh Polis Kuala Lumpur sempena KL112.

"Pas media ini akan membantu polis dalam mengenal pasti kakitangan media dengan lebih baik.

"Kami sedar terdapat beberapa tindak balas negatif kepada mengenai pengenalan pas ini... Saya dengar sesetengah pihak yang mendakwa melalui pas ini petugas media akan lebih senang dijadikan sasaran polis.

"Ini semua hanya pandangan skeptikal, sebenarnya pas khas ini adalah untuk kemudahan media... kami komited ke arah memastikan keselamatan semua orang, termasuk kakitangan media," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan