Jangan Perkuda Islam Untuk Kepentingan Politik - MPM - Berita Semasa | mStar

Jangan Perkuda Islam Untuk Kepentingan Politik - MPM

Diterbitkan: Jumaat, 11 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini memberi peringatan tegas kepada pemimpin politik Islam di negara ini supaya tidak sekali-kali memperkudakan kepentingan Islam demi meraih sokongan politik.

Setiausaha Agungnya Dr Hasan Mad berkata peringatan itu dibuat berikutan isu kalimah Allah yang dimainkan pihak pembangkang pada masa ini boleh menimbulkan polemik yang memecah belahkan umat Islam dan mencemar kesucian Islam itu sendiri.

"MPM memandang serius perbuatan segelintir pemimpin yang mempolitikkan isu yang amat sensitif ini, apatah lagi desakan penggunaan kalimah Allah itu dibuat seorang pemimpin bukan Islam dan bukan 'authority' dalam bidang keagamaan.

"Lebih malang lagi isu ini dijadikan semakin hangat dan boleh mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila ia disokong pemimpin politik Islam yang mendakwa diri mereka golongan ulama dalam politik," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Baru-baru ini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilapor membangkitkan semula isu kalimah Allah dengan menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu.

MPM merupakan sebuah kaukus lebih 280 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Islam dan bumiputera dengan gabungan lebih 3.5 juta anggota.

Ditanya mengenai PAS yang melabel diri mereka sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam tetapi dilihat gagal mengawal atau menasihati rakannya DAP supaya tidak mempermainkan isu sensitif itu, Hasan berkata ia sesuai digambarkan seperti sebuah pertarungan tinju yang tidak mempunyai pengadil.

"Dalam pertarungan ini peninju itu akan berbuat apa sahaja untuk memastikan kemenangan mereka, walaupun 'hit below the belt' mereka akan buat demi meraih kemenangan.

"DAP kita lihat parti utama dalam pakatan pembangkang tetapi mereka perlu gunakan PAS, yang berada di tempat ketiga dalam pakatan itu, untuk meraih sokongan orang Islam. PAS pula perlu guna kekuatan DAP untuk meraih sokongan politik, jadi Islam menjadi galang gantinya untuk sokongan itu," katanya.

Beliau berkata persoalan sama ada DAP mahu mempergunakan PAS atau sebaliknya bukan perkara pokok tetapi apabila perbuatan itu mendatangkan implikasi besar kepada umat Islam, ia bakal menjadi barah yang merosakkan syiar Islam di negara ini.

Ditanya adakah perlu Majlis Raja-raja masuk campur bagi menamatkan isu ini, beliau berkata majlis itu tidak perlu diheret sama dalam isu itu kerana ia melibatkan pertelagahan politik.

"Ini suatu isu yang dipolitikkan demi kepentingan politik pihak tertentu, dikhuatiri bila majlis itu campur tangan, raja-raja akan turut menjadi bahan politik pihak yang tidak bertanggungjawab ini," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan