SPAD Tidak Setuju Rakyat Asing Jadi Pemandu Bas

Diterbitkan: Khamis, 10 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengambil rakyat asing sebagai pemandu kenderaan pengangkutan awam terutamanya bas.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata menggajikan rakyat asing bukan langkah terbaik untuk mengatasi masalah kekurangan pemandu yang semakin kritikal ketika ini.

"Ada tekanan daripada pengusaha-pengusaha bas untuk membenarkan pemandu asing diambil bekerja sebagai pemandu...kami tidak bersetuju.

"Perkara yang lebih penting sekarang ialah mencari langkah bagaimana untuk menarik minat rakyat tempatan mengisi kekosongan pekerjaan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SPAD dan Mara di sini, Khamis.

Beliau menandatangani MoU perkongsian pintar itu dengan Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad dan disaksikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hassan Malek dan Pengerusi Mara Datuk Idris Jusoh.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata tiada halangan kepada rakyat asing yang mempunyai status penduduk tetap untuk menjadi pemandu bas kerana mereka mempunyai hak bekerja di negara ini.

Beliau berkata rakyat tempatan juga perlu dilatih dan ditawar gaji berpatutan serta insentif menarik untuk menarik mereka menyertai sektor itu.

"Tidak guna menambah jumlah bas sekiranya tenaga tidak mencukupi dan industri ini tidak akan berkembang jika tiada pihak membantu membekalkan industri dengan pemandu-pemandu yang mempunyai kelayakan.

"Kami harap Mara dan pusat latihan lain dapat melihat secara holistik dan kami mahu lihat mutu pemandu dapat ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata SPAD dalam perancangan untuk menubuhkan Akademi SPAD bagi melahirkan pemandu bas berkualiti dan menepati standard yang ditetapkan di samping mengatasi masalah kekurangan pemandu bas.

"Kami mungkin bekerjasama dengan Mara kerana ia mempunyai sistem latihan yang amat baik," katanya.

Beliau berkata untuk meningkatkan perkhidmatan bas henti-henti di kawasan luar bandar, SPAD memperuntukkan RM1.5 juta kepada Mara di bawah Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti.

"Untuk permulaan sebanyak RM220,000 disalur untuk enam bulan pertama bagi penggunaan 202 bas henti-henti MARA Liner di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Hassan berkata kerjasama antara Mara dan SPAD dapat memperbaiki serta meningkatkan kualiti sistem penyampaian.

Beliau berkata peranan yang dipikul Mara amat penting memandangkan kurangnya minat daripada syarikat swasta untuk menyediakan perkhidmatan bas di kawasan luar bandar yang tidak memberi pulangan menguntungkan. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan