Mahasiswa Perlu Bijak Memilih Aktiviti Luar - Khaled Nordin

Diterbitkan: Khamis, 10 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Golongan mahasiswa perlu bijak dan matang dalam membuat keputusan berhubung kegiatan luar yang ingin disertai, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata walaupun mereka bebas membuat pilihan, keutamaan dan tumpuan perlu diberi kepada pelajaran terutama pada musim peperiksaan.

"Mahasiswa digalak menyertai program khidmat masyarakat terutama dalam membantu mereka yang menghadapi musibah kerana program-program seumpama itu boleh membentuk sahsiah diri pelajar yang menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Galing Besar, dekat sini, Khamis.

Pada lawatan itu Mohamed Khaled bersama 75 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang bergotong royong membersih dan mengecat Surau Haji Jaafar di kampung itu yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Beliau dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Teruntum Datuk Chang Hong Seong yang turut hadir, menyampaikan bantuan wang tunai RM100 dan barangan keperluan dapur kepada 164 mangsa banjir di kampung itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan