Ribut Tropika: Elakkan Kawasan Pantai, Laut Sarawak

Diterbitkan: Rabu, 9 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Penduduk di tengah dan utara Sarawak dinasihati supaya mengelak daripada mengadakan sebarang aktiviti marin atau pantai mulai hari ini hingga 13 Januari berikutan ribut tropika Sonamu yang diramal membadai negeri ini dalam tempoh itu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak bahagian Pentadbiran dan Perhubungan Awam, Datuk Misnu Taha berkata ribut itu dijangka berlaku kira-kira 194 kilometer barat laut bandar Mukah menjelang esok dan kesannya boleh dirasai sehingga ke bahagian Bintulu, Miri dan Sibu.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Unit Keselamatan Negeri di sini, beliau berkata Jabatan Meteorologi memaklumkan kepada mesyuarat itu bahawa kelajuan angin yang dibawa ribut itu semakin berkurangan namun boleh meningkat semula sebaik sampai ke pesisir negeri ini.

"Ribut sekuat ini boleh mengakibatkan bumbung bangunan diterbangkan angin dan ombak besar serta hujan lebat di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata bilik operasi bencana bagi Pejabat Residen di bahagian Miri, Mukah, Bintulu dan Sibu akan beroperasi 24 jam mulai hari ini untuk memberi maklumat terkini mengenai ribut itu kepada orang ramai. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan