PAS Gadai Maruah Islam - Syed Ali

Diterbitkan: Rabu, 9 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang sebulat suara membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam disifatkan sebagai satu penghinaan kepada umat Islam di negara ini.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersetuju dengan desakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng merupakan perbuatan yang mengaibkan.

"Ia satu penghinaan dan cercaan paling memedihkan yang tergamak dilakukan oleh pemimpin Melayu (PAS dan PKR) terhadap umat Islam.

"Pemimpin PAS sepatutnya bertanya, apa sebenarnya motif penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible. Adakah ia akan disebarkan kepada remaja Islam?," soal beliau.

Ekoran itu, Syed Ali mengecam Nik Aziz dan Abdul Hadi kerana sanggup 'menjual maruah Islam' malah bersubahat dengan DAP hanya demi kepentingan politik semata-mata.

Isu tersebut kembali hangat diperkatakan apabila Guan Eng dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas bulan lalu mendesak kerajaan Pusat membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah bagi menggantikan 'God' atau 'Tuhan' dalam bible versi bahasa Melayu.

Dalam pada itu, Syed Ali mendesak agar pengendali blog Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diserang strok ringan hujung minggu lalu meminta maaf secara terbuka kerana menyebarkan laporan berunsur fitnah.

"Pengendali blog tersebut dan mereka yang bertanggungjawab dalam fitnah tersebut perlu memohon maaf kepada Perdana Menteri kerana laporan itu tidak adil dan bermotif jahat," tegasnya.

Syed Ali tidak menolak kemungkinan laporan palsu kononnya Najib diserang strok ringan minggu lalu dilakukan pembangkang bagi mencetuskan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara.

“Perdana Menteri kelihatan cergas dan sentiasa turun padang bertemu rakyat di samping menjalankan tugas rasmi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak terpedaya dengan dakwaan blog tertentu berhubung keadaan kesihatan Perdana Menteri yang didakwa terjejas.

Laporan dalam blog Sarawak Report bertarikh 5 Januari lalu, mendakwa Najib diserang strok ringan akibat tertekan dengan beberapa siri pendedahan yang dilakukan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Namun, laporan tersebut turut disangkal sendiri oleh Najib semasa berucap pada pelancaran Bon dan Sukuk Yang Diniagakan (ETBS) di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur, Isnin.

"Bursa Malaysia sihat, pasaran bon sihat, pasaran sukuk sihat dan saya juga sihat. Jadi tolong jangan percaya terhadap blog," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan