Muhyiddin Gesa Sektor Awam Main Peranan Penting Untuk Kejayaan Penjenamaan Negara

Diterbitkan: Rabu, 9 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucaptama pada Majlis Penutup Meja Bulat Razak, di Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucaptama pada Majlis Penutup Meja Bulat Razak, di Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu menggesa sektor awam memainkan peranan penting, setara dengan sektor swasta, bagi memastikan kejayaan kempen penjenamaan negara.

Beliau berkata sektor awam perlu berubah mengikut peredaran masa dan tuntutan semasa.

Bagi membolehkan sektor awam kita berusaha ke arah kecemerlangan dan melaksanakan pelannya secara efektif, ia perlu berasaskan pengetahuan dan kebijaksanaan.

"Penting untuk kita semua menyedari bahawa jenama negara merupakan paksi kepada kekuatan sedia ada kita, bukan sekadar satu hasrat.

"Ia perlu berakar umbi kepada realiti dan ada hubung kait dengan rakyat, merangkumi bukan sahaja produk, tetapi urus tadbir, sosial dan modal insan serta pertumbuhan mampan," katanya dalam ucapan pada majlis penutup "Razak Roundtable: Creating Brand Power for Countries and Companies", di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata dalam dunia hari ini, globalisasi bermaksud negara-negara perlu bersaing sesama sendiri untuk menarik perhatian, penghormatan dan kepercayaan pelanggan, pelabur, pelancong dan bakat berpotensi.

"Jenama negara yang positif dan utuh akhirnya akan memberikan kelebihan daya saing," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata ukuran prestasi sesebuah negara mungkin memerlukan lebih daripada sekadar Pendapatan Dalam Negara Kasar, dan apa lebih penting, kualiti urus tadbir untuk warganegaranya.

Urus tadbir baik yang merangkumi kesemua dimensi ini amat kritikal bukan sahaja bagi pelaburan, eksport dan pelancongan, tetapi lebih penting lagi, dalam usaha mendapatkan bakat, katanya.

Selain itu, beliau berkata jenama negara juga berkait rapat dengan keseluruhan spektrum faktor-faktor penting yang wujud, daripada nilai-nilai dan kualiti kehidupan sehingga ekonomi dan kebudayaan.

Muhyiddin berkata Malaysia telah mencatatkan peningkatan mengagumkan sebanyak tujuh mata dalam ranking FutureBrand's Country Brand Index (CBI) ke tempat ke-36 dalam kalangan 118 negara, dan menduduki tempat tiga teratas dalam senarai unjuran 15 jenama negara masa depan.

Memetik FutureBrand, badan perunding jenama dan rekaan global, Timbalan Perdana Menteri berkata kedudukan Malaysia di tempat ketiga dalam senarai 'Future 15' antara lain berdasarkan kekuatannya dalam melakukan pembaharuan ekonomi, urus tadbir, modal insan, pertumbuhan, kemampanan dan pengaruh.

Katanya laporan itu juga menyatakan kemunculan Malaysia sebagai sebuah pasaran adalah hasil daripada pelaburan berterusan dalam pendidikan dan perumahan kos rendah, dan kejayaan meningkatkan kualiti kehidupannya rakyatnya.

"Yang pasti, Program-Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan kita telah mula menampakkan hasilnya dan membawa kita ke landasan dan hala tuju yang betul. Bagaimanapun, lebih banyak lagi perlu dilakukan," katanya.

Muhyiddin seterusnya berkata pengalaman negara-negara Asia Tenggara yang lain jelas menunjukkan hasilnya tiada bandingan sekiranya pembinaan jenama diberi tumpuan dan diurus dengan baik.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta Razak School of Government (RSOG) mewujudkan kekuatan intelektual bagi memastikan perkhidmatan awam Malaysia memperluaskan skopnya dan mempunyai latar belakang kukuh dalam bidang-bidang relevan.

Beliau berkata ini adalah kritikal dalam usaha memupuk pemimpin-pemimpin masa depan perkhidmatan awam yang bakal menjadi duta jenama negara.

"Amat menyenangkan apabila melihat RSOG menyediakan platform untuk dialog dan perkongsian pengetahuan antara sektor awam dan swasta, dan antara kumpulan pemikir dan pengamal dalam bidang penjenamaan.

"Ini bukan sahaja akan meningkatkan komunikasi dalam kalangan pemegang amanah tetapi juga menyumbang ke arah pewujudan jenama negara yang lestari," katanya. Persidangan sehari itu dianjurkan bersama oleh RSOG, KPJ Healthcare Berhad dan Said Business School, University of Oxford.

Persidangan meja bulat itu membentangkan pandangan dan pendapat pakar serta kajian kes menarik mengenai pelbagai isu semasa yang menjejaskan pembangunan negara dan penjenamaan sektor swasta.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Ketua Pegawai Eksekutif RSOG Dr Hamidin Abd Hamid, Dekan Bersekutu Said Business School Dr Andrew White dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Datin Paduka Siti Sa'adiah Sheikh Bakir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan