Malaysia-Thailand Kaji Lima Perjanjian, Termasuk Perpindahan Banduan

Diterbitkan: Rabu, 9 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersalaman dengan Dr Chalerm Yoobamrung (kanan) ketika beliau menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Thailand itu di perkarangan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Rabu. Turut sama ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (kiri). -fotoBERNAMA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersalaman dengan Dr Chalerm Yoobamrung (kanan) ketika beliau menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Thailand itu di perkarangan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Rabu. Turut sama ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (kiri). -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand pada Rabu bersetuju untuk mengkaji lima perjanjian, termasuk perpindahan banduan antara kedua-dua negara, bagi membolehkan penghuni tirai besi menyambung hukuman penjara di tanah air masing-masing supaya lebih dekat dengan keluarga.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perjanjian seumpama itu (pertukaran banduan), mungkin yang pertama di rantau ini, dan Malaysia baharu sahaja meminda undang-undang berkaitan pada sesi Parlimen lepas untuk membolehkan perjanjian itu dimeterai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Thailand Dr Chalerm Yoobamrung di sini Rabu.

Hishammuddin berkata turut dikaji perjanjian ekstradisi, memorandum persefahaman (MoU) untuk memerangi jenayah merentas sempadan, kerangka undang-undang mengenai jenayah dan perkongsian maklumat, dan semua itu akan dimuktamadkan secepat mungkin agar kumpulan kerja dapat memulakan perbincangan mengenai semua isu berkaitan.

"Semua ini akan membantu memperkukuhkan hubungan dua hala dan akan membantu proses memastikan wilayah-wilayah di selatan Thailand stabil, yang akan membawa kebaikan kepada seluruh rantau dan bukan hanya kedua-dua negara," katanya.

Hishammuddin berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerjasama berhubung isu pekerja Thailand di negara ini dan sekiranya perlu mereka akan dikenal pasti dan disahkan mengikut undang-undang.

"Tidak terdapat banyak (pekerja warga Thailand di Malaysia), mungkin kira-kira 6,000-7,000 orang dan dengan kerjasama antara kerajaan dan Kedutaan Thailand, saya fikir lebih ramai akan tampil supaya kita dapat tentukan jumlah sebenar mereka di negara ini.

"Ia adalah situasi menang-menang, kerana kita boleh membantu menjaga kebajikan mereka, dan kita juga boleh tahu jumlah sebenar warga Thailand bekerja di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Yoobamrung berkata beliau gembira kerana banyak isu dibincangkan pada pertemuan itu dan berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kebaikan rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan dan sentimen serupa mengenai bagaimana untuk mengembalikan kestabilan dan keselamatan di sempadan wilayah-wilayah selatan Thailand. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan