PM Terima Kunjungan Hormat Presiden Tatarstan

Diterbitkan: Selasa, 8 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Rustam N. Minnikhanov (kanan) ketika menerima kunjungan Presiden Republik Tatarstan dalam Persekutuan Rusia itu di pejabatnya di bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Selasa. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Rustam N. Minnikhanov (kanan) ketika menerima kunjungan Presiden Republik Tatarstan dalam Persekutuan Rusia itu di pejabatnya di bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Selasa. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menerima kunjungan hormat Presiden Republik Tatarstan dalam Persekutuan Rusia, Rustam N. Minnikhanov.

Presiden dan delegasinya berada di sini untuk lawatan tiga hari bermula Selasa, untuk merintis jalan buat Tatarstan dan Malaysia bagi menggalak dan membangunkan kerjasama ekonomi dalam pelbagai bidang, dan dengan itu, mengukuhkan hubungan antara kedua buah negara.

Ketibaan Presiden itu di aras lima bangunan Perdana Putra petang ini, disambut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, sebelum dibawa ke Pejabat Perdana Menteri.

Pertemuan antara Najib dan Presiden Minnikhanov berlangsung selama 45 minit.

Sebelum itu, delegasi dari wilayah separa autonomi dalam Persekutuan Rusia itu, mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, di Wisma Putra.

Menurut satu kenyataan daripada Pejabat Perhubungan Awam, Media dan Agensi Pembangunan Pelaburan Tatarstan; sebagai sebahagian daripada aturcara lawatan, Presiden Minnikhanov dan Mustafa akan menjadi hos seminar pelaburan Tatarstan-Malaysia yang akan menonjolkan peluang-peluang pelaburan dua hala yang ada antara kedua buah negara.

Semasa seminar itu, pihak Tatarstan akan mengemukakan dua projek keutamaan pembangunan - SMART City Kazan dan Innopolis - yang dilancarkan republik itu bagi melahirkan infrastruktur pelaburan yang diperlukan dan platform dalam khidmat perniagaan, industri perkhidmatan dan IT.

Delegasi Tatarstan, yang termasuk lebih daripada 40 ahli perniagaan, pendidikan dan pegawai kerajaan, juga akan melawat Cyberjaya, taman sains yang memfokuskan IT yang bertindak sebagai teras Koridor Raya Multimedia Malaysia, juga satu analogi kepada projek Innopolis di Tatarstan.

Menurut kenyataan itu, ketua eksekutif Tatarstan Investment Development Agency Linar Yakupov berkata lawatan itu akan memainkan peranan penting ke arah meningkatkan trajektori kerjasama dua hala yang dibuat semasa lawatan terakhir Presiden Minnikhanov ke Malaysia pada 2010.

"Berikutan lawatan itu, pelaburan asing dari Malaysia ke Tatarstan meningkat daripada $741,100 kepada $950,000 pada 2011. Suku ketiga 2012 menyaksikan pelaburan $568,000 ke Tatarstan dari Malaysia," kata kenyataan itu.

Pada Disember, satu perjanjian ditandatangani yang akan menyaksikan syarikat pelaburan Malaysia, Aliran Idaman, memperoleh Hospital Shamovsky, satu mercu tanda bersejarah di Kazan, ibu kota Tatarstan.

"Syarikat Malaysia merancang membaik pulih bangunan itu menjadi hotel dengan gaya istana mengikut standard antarabangsa. Jumlah pelaburan bagi projek ini dijangka sekitar 20juta Euro," kata kenyataan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan