Tiga Daerah Di Pahang Dijangka Banjir Akibat Ribut Sonamu - Berita Semasa | mStar

Tiga Daerah Di Pahang Dijangka Banjir Akibat Ribut Sonamu

Diterbitkan: Isnin, 7 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir semasa kejadian ribut tropika Sonamu yang diramal membadai negeri-negeri Pantai Timur bermula Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata sehubungan itu 66 pusat pemindahan akan dibuka di Kuantan, 84 di Pekan dan 31 di Rompin.

Selain itu, semua pegawai daerah telah diarah menguar-uarkan ancaman ribut tersebut kepada penghulu serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung masing-masing dan melakukan persiapan yang perlu, katanya kepada pemberita, di sini malam Ahad.

Muhammad Safian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang, berkata negeri itu juga mendapat bantuan daripada pasukan tentera darat yang berpangkalan di Johor yang akan digerakkan membantu mangsa apabila keadaan memerlukan.

Mereka yang kini ditempatkan di Kem 4 Briged, Kuantan akan menjadi pasukan pertama menghulur bantuan di kawasan terjejas ribut, katanya yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang.

Menurutnya sebanyak tiga helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia juga berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan bagi menghantar bantuan kepada mangsa termasuk melakukan penerbangan ihsan.

Bagi penduduk di pulau-pulau pula, Tentera Laut Diraja Malaysia memberi jaminan akan menghantar bantuan kepada yang terjejas, katanya.

Beliau turut menasihatkan pekerja pembalakan, perlombongan dan nelayan agar tidak ke kawasan berisiko sepanjang ribut melanda.

Jabatan Meteorologi Malaysia dilapor meramalkan ribut Sonamu melanda negeri-negeri di Pantai Timur mulai hari ini dan bagi negeri Pahang ribut itu dijangka membadai dari 9 hingga 10 haribulan ini dengan kelajuan angin mencecah sehingga 40 kilometer sejam. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan