Isu Sogokan RM30,000: PKR Akan Keluarkan Kenyataan Rasmi Selasa - Berita Semasa | mStar

Isu Sogokan RM30,000: PKR Akan Keluarkan Kenyataan Rasmi Selasa

Diterbitkan: Isnin, 7 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PKR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu wang sogokan berjumlah RM30,000 yang dikatakan melibatkan pembantu kepada timbalan ketua menteri Pulau Pinang pada Selasa.

Pengarah Strategi PKR,Rafizi Ramli berkata dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR pada Isnin, sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman sendiri akan memberi taklimat berhubung isu itu kepada pucuk pimpinan parti.

"Kita menjangkakan Selasa untuk parti mengeluarkan respon selepas mendengar penjelasan daripada pucuk pimpinan negeri terlebih dahulu," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Pada 3 Januari lalu, pembantu khas kepada Mansor yang juga merupakan kordinator program kepada ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditahan oleh kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disebuah restoran bersama dua yang lain setelah mereka dipercayai cuba menyogok seorang kerani wanita supaya mengugurkan dakwaan gangguan seksual yang dikatakan dilakukan oleh seorang pegawai tinggi kerajaan di peringkat daerah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Ahad menegaskan bahawa pihak kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang melibatkan korupsi.

Sementara itu Guan Eng pada Isnin mengumumkan beberapa pertukaran dan pelantikan baru melibatkan pegawai-pegawai daerah di Seberang Perai.

Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Saodah Nawawi telah dilantik sebagai pegawai daerah Seberang Perai Utara yang baru.

Beliau mengantikan Jusni Ismail, yang dipindahkan sebagai pegawai daerah Seberang Perai Tengah yang baru.

Sebelum ini jawatan pegawai daerah Seberang Perai Tengah disandang oleh Roslan Yahaya.

Kesemua pelantikan itu berkuatkuasa serta merta.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan