Bantuan Kebajikan Akan Disampaikan Secara Bersemuka Setiap Bulan - Noriah - Berita Semasa | mStar

Bantuan Kebajikan Akan Disampaikan Secara Bersemuka Setiap Bulan - Noriah

Diterbitkan: Isnin, 7 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Pelbagai bantuan kebajikan daripada Kerajaan Persekutuan seperti bantuan untuk orang tua dan orang kelainan upaya (OKU) akan disampaikan secara bersemuka kepada kumpulan sasaran setiap bulan mulai tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon,.

Beliau berkata, bantuan itu akan disampaikan oleh Anggota Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri atau Penyelaras Dewan Undangan Negeri yang berkenaan kepada kumpulan sasar melalui majlis penyampaian yang diadakan setiap bulan di kawasan masing-masing.

Menerusi pendekatan berkenaan, para pemimpin di peringkat akar umbi akan dapat berinteraksi dan mengenali dengan lebih dekat mereka yang memerlukan bantuan kebajikan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 308 warga emas dan 120 OKU daerah Sabak Bernam di sini, Isnin.

Bantuan untuk orang tua dan OKU itu merupakan sebahagian daripada program bantuan kerajaan di bawah program Kebajikan Rakyat 1Malaysia yang melibatkan 473,928 orang penerima di seluruh negara dengan peruntukan RM1.3 bilion setahun.

Noriah yang juga Anggota Parlimen Sungai Besar berkata, sebelum ini memang ada pemimpin yang menyampaikan bantuan secara terus atau bersemuka kepada golongan sasaran tetapi ia tidak menyeluruh.

Beliau berkata, sebelum ini para penerima bantuan tidak mengetahui siapakah yang memberi dan mendepositkan wang bantuan itu kepada mereka setiap bulan.

"Selain daripada itu, masalah para penerima bantuan akan segera diketahui oleh para pemimpin di peringkat akar umbi untuk dibawa ke peringkat lebih atas untuk tindakan segera," katanya.

Beliau juga berkata, bantuan diberikan kepada warga tua ini juga sebagai penghargaan kepada golongan itu yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan negara dan menyumbang kepada pembangunan negara. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan