TPM Umum Pembinaan Sekolah Menengah Di Proton City

Diterbitkan: Ahad, 6 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJUNG MALIM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan di bandar automotif Proton City di sini, Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata pembinaan sekolah berkapasiti 1,200 pelajar dengan kos RM40 juta, yang dijadual bermula tahun depan itu mengambil masa kira-kira dua tahun setengah untuk disiapkan.

"Jika perancangan pembangunan Tanjung Malim sebagai bandar automotif diteruskan, ia harus selari dengan pembangunan bandar yang teratur, infrastruktur mencukupi bagi penduduk, khususnya mereka yang tinggal di Tanjung Malim dan Behrang.

"Untuk itu, pengurusan DRB-Hicom dan Proton telah berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk bina sebuah sekolah menengah di sini untuk keperluan anak-anak pekerjanya.

"Sukacita saya maklumkan Kementerian Pelajaran telah menimbang dan bersetuju luluskan dalam pelan persiapan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini dengan kos RM40 juta," katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dan makan tengah hari bersama warga kerja Proton di Proton City.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Eksekutif Proton Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 jemputan termasuk 1,500 kakitangan Proton, Muhyiddin berkata pembinaan sekolah itu akan menyelesaikan masalah penduduk dan anak-anak kakitangan Proton untuk meneruskan persekolahan yang mana kini mereka terpaksa berulang alik sejauh 10 kilometer untuk ke sekolah menengah berhampiran di Tanjung Malim.

Timbalan Perdana Menteri berkata untuk melengkapkan lagi pembangunan kawasan Selatan Perak itu, kerajaan pusat juga akan menyediakan peruntukan RM2.5 juta untuk membina sebuah sekolah agama.

"Dengan pembangunan yang pesat dan pertambahan penduduk, kerajaan harap inisiatif dan pengumuman baru ini akan memastikan visi menjadikan Proton City sebagai bandar automotif bertaraf global dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Terdahulu Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menghadiri mesyuarat tertutup bersama BN Perak di Kompleks Sukan Proton City yang dihadiri antaranya Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Zambry selaku Pengerusi BN negeri, timbalannya Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Mesyuarat tertutup selama dua jam itu turut disertai Timbalan Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Kong Cho Ha, Pengerusi MIC Datuk Seri G. Palanivel, Pengerusi Gerakan Datuk Seri Chang Ko Youn dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP)Datuk Seri M.Kayveas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan