Pekerja Pasar Mini Dapat Bantuan Keda Bina Rumah

Diterbitkan: Ahad, 6 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULIM: Sepasang suami isteri dari Kampung Jubai Tengah, Mukim Bagan Sena, dekat sini, kini boleh menghela nafas lega apabila mendapat bantuan membina sebuah rumah baharu, hasil peruntukan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Rumah tiga bilik berharga RM33,000 yang dibina di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) itu adalah antara lebih 30 rumah yang diluluskan Keda, sebuah agensi kerajaan Persekutuan, di daerah Kulim pada 2011.

Zulzaime Mansor, 30, dan isteri Suzyliana Hashim, 30, kedua-duanya pekerja sebuah pasar mini di Pekan Labu Besar dekat sini, bersama dua anak mereka, Noralianajan, 6, dan Mohd Adam Haris, 4, kini tidak perlu bersesak-sesak lagi tinggal di rumah tanpa bilik milik keluarga mereka.

"Dengan terbinanya rumah ini atas tanah milik ibu saya Siti Fatimah Awang, saya merasa amat terharu kerana dengan pendapatan yang tidak seberapa yang saya peroleh setiap bulan saya tidak mampu mendirikan sebuah rumah berharga RM33,000 ini tapi syukurlah kerana pihak Keda telah menjayakan cita-cita keluarga saya," katanya ketika ditemui di rumahnya Ahad.

Katanya dia dan keluarganya amat terhutang budi dengan pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Jubai Tengah yang telah mengemukakan permohonannya kepada Keda.

"Keluarga saya juga terhutang budi dengan Umno Bahagian Padang Serai yang turut membantu kami mendapatkan rumah ini. Saya bersyukur kepada Allah yang telah mendorong kalangan pemimpin tempatan di sini menjayakan permohonan keluarga saya," katanya.

Satu jamuan kesyukuran diadakan Zulzaime sempena memasuki rumah itu hari ini, yang dihadiri jiran-jirannya.

Sementara itu Setiausaha Umno Bahagian Padang Serai Drs Ahmad Zubib Saad, berterima kasih kepada pihak Keda kerana telah banyak menghulurkan bantuan membina rumah-rumah untuk golongan yang kurang mampu dalam bahagian itu.

"Sejak 2008 terdapat lebih 20 rumah dalam Bahagian Padang Serai di bawah PBR yang telah diluluskan Keda berharga hampir RM700,000 dan masih terdapat rumah di bawah program sama sedang dibina atau akan dibina," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan