Taraf Pendidikan Negara Ditingkat Selaras Keperluan Semasa - PM

Diterbitkan: Sabtu, 5 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf pendidikan negara selaras dengan tuntutan semasa.

Perdana Menteri berkata ini kerana penguasaan dalam bidang pendidikan dan keilmuan merupakan teras utama kepada kelangsungan sebuah negara bangsa di abad ke-21 ini.

"Empayar sesebuah bangsa kini lebih menjurus kepada penguasaan dalam bidang ilmu dan pendidikan untuk terus berdaya saing dan lebih kompetitif.

"Ia bukan fikiran ketenteraan tetapi 'empayar minda' yang akan kekal di abad ke-21 ini," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat Parlimen Pekan 2012.

Seramai 364 pelajar UPSR parlimen itu berjaya memperolehi keputusan 5A dan 100 pelajar PMR mendapat keputusan 100 peratus A.

Beliau berkata apa yang penting, peranan ibu bapa dan komuniti dilihat antara faktor penyumbang kepada kejayaan dalam pendidikan negara.

"Bidang pendidikan adalah satu bidang yang amat strategik dan penting, kejayaan sesebuah negara bergantung kepada kesepaduan antara ilmu, kemahiran, pemikiran inovatif dan kreatif," katanya.

Najib berkata kejayaan sesebuah negara juga bergantung kepada daya saing rakyat yang dapat membangunkan bakat mereka bagi menyumbang sesuatu kepada negara.

"Sesiapa yang ada idea unggul akan capai kejayaan dan mendahului yang lain, mengambil iktibar bahawa persaingan abad ke-21 bukan sahaja menguasai akademik tapi ianya perlu lebih inovatif dan kreatif," katanya.

Najib berkata ibu bapa perlulah memainkan peranan besar dalam usaha membantu pencapaian anak-anak seperti memberi sokongan moral dan membimbing mereka untuk mencapai kejayaan.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan