Orang Ramai Tidak Perlu Khuatir, H5N1 Terkawal - Rosnah

Diterbitkan: Sabtu, 5 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAPAR: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata orang ramai tidak perlu khuatir dengan penularan virus baharu selesema burung (H5N1) di negara ini, khususnya di Sabah, kerana ia adalah terkawal.

Rosnah berkata pelbagai usaha dan langkah pemantauan dilaksanakan antara kementeriannya bersama agensi berkaitan termasuk pejabat kesihatan dan hospital daerah bagi membendung virus itu.

"Keadaan selesema burung yang berlaku di negara jiran Indonesia itu terkawal dan tiada kes dilaporkan di Sabah setakat ini," katanya ketika ditemui pemberita sempena Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia di Padang Pekan Papar di sini Sabtu.

Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berkata kementeriannya turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi memantau kehadiran dan pergerakan masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negeri ini menerusi perjalanan dua hala antara Sabah dan Indonesia.

Sebelum ini, Bernama melaporkan ribuan itik di Yogyakarta, Jawa Tengah dan Jawa Timur mati akibat virus baharu selesema burung sejak empat bulan kebelakangan ini.

Perkara itu disahkan melalui ujian makmal dan penyelidikan yang dijalankan Pusat Veterinar (BBVet) di Yogyakarta.

Pakar epidemiologi BBVet Putut Djoko Purnomo dipetik berkata adalah disyaki virus baharu H5N1 itu juga menyerang spesis unggas yang lain termasuk ribuan ayam di Yogyakarta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan