Pembangkang Janji Demo Aman 12 Januari Ini - Berita Semasa | mStar

Pembangkang Janji Demo Aman 12 Januari Ini

Diterbitkan: Rabu, 2 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pembangkang memberi jaminan bahawa penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari ini akan berlangsung secara aman selaras dengan semangat Akta Perhimpunan Aman 2011.

Pengarah Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada pengurusan Stadium Merdeka pada 26 Disember lalu namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

"Kita mengambil nasihat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk mengadakan perhimpunan secara aman di dalam stadium.

"Kami juga memberi jaminan bahawa ia akan berlangsung dalam suasana yang aman," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Rabu.

Selain itu Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, pembangkang akan turut berurusan dengan pihak berkuasa termasuk rancangan untuk mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar bagi mendapatkan kerjasama berhubung penganjuran perhimpunan tersebut.

"Kita sudah tetapkan bahawa kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan berurusan dengan KPN manakala pihak sekretariat akan berhubung dengan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Mohmad Salleh) bagi mendapatkan kerjasama untuk menjayakan perhimpunan tersebut," katanya lagi.

Ditanya sama ada penganjur mempunyai lokasi alternatif sekiranya pengurusan Stadium Merdeka enggan memberi kebenaran, Mohamad berkata,"Tak ada pilihan lain, buat masa ini hanya Stadium Merdeka."

Tambah beliau, pada penghujung perhimpunan yang mensasarkan kehadiran hampir sejuta rakyat itu akan dibacakan pernyataan ringkas yang dikenali sebagai 'Deklarasi Rakyat 12 Januari'.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan