Banjir Di Terengganu Semakin Pulih - Berita Semasa | mStar

Banjir Di Terengganu Semakin Pulih

Diterbitkan: Rabu, 2 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya lima pusat pemindahan masih beroperasi berbanding 25 petang Selasa.

Jumlah mangsa banjir sehingga pukul 7 malam ini menurun kepada 106 orang, berbanding 1,009 orang sehingga pukul 4.30 petang Selasa.

Menurut portal banjir negeri, dua daerah yang masih terjejas adalah Hulu Terengganu dan Besut dengan masing-masing mempunyai 63 dan 43 mangsa banjir dari 23 keluarga.

Sebanyak tiga pusat pemindahan banjir dibuka di Hulu Terengganu manakala dua lagi di Besut.

Korban mangsa banjir kekal enam orang di Terengganu sehingga ini.

Di KELANTAN, kesemua 17 mangsa banjir di jajahan Kota Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong di sini, sudah mula pulang ke rumah masing-masing malam Selasa, berikutan banjir pulih.

Bagaimanapun, menurut portal banjir negeri itu, jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Puteh bertambah sembilan orang kepada 44 malam Selasa.

Seramai 26 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil dan 18 orang lagi di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh.

Air di beberapa batang sungai utama dilaporkan masih di paras berjaga-jaga. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan