Tokoh Agama Akan Dijemput Bersama Hadi Dalam Rancangan TV - Rais

Diterbitkan: Isnin, 31 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (dua, kiri) bersama isteri Datin Seri Maznah Rais (tiga, kiri) turut menyertai Larian Tahun Baru 1Malaysia di Dataran Merdeka. -fotoBERNAMA
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (dua, kiri) bersama isteri Datin Seri Maznah Rais (tiga, kiri) turut menyertai Larian Tahun Baru 1Malaysia di Dataran Merdeka. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tokoh agama dan mufti negeri-negeri akan dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatar belakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita".

"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Tahun Baru 1Malaysia di Dataran Merdeka di sini.

Presiden PAS itu, katanya harus bersedia untuk menerima pendapat orang lain dan forum tersebut akan dibuat dalam suasana yang sesuai.

Rais berkata Hadi tidak boleh membuat tanggapan bahawa keputusan (Amanat Hadi Awang) yang beliau buat pada 1981, itu adalah muktamad.

Menurut Rais Hadi bukan ahli jawatankuasa fatwa atau majlis agama Islam negeri, sebaliknya beliau hanyalah seorang ahli politik yang mengeluarkan pandangan sendiri dan pandangan itu pula berasaskan sentimen yang diselubungi oleh politik.

Rais juga berharap Hadi akan menarik balik tuduhan kafirnya ke atas pengikut Umno semasa berlangsungnya program itu dan jika beliau mahu meneruskan amanatnya, Hadi harus mendengar pandangan daripada tokoh-tokoh agama lain yang akan turut serta.

"Sehingga kini, belum ada lagi permohonan rasmi dari Hadi tetapi segala perancangan untuk menyediakan rancangan berbentuk forum tanpa kehadiran penonton studio itu sedang berjalan," katanya.

Rais menjelaskan demikian ketika mengulas mengenai hasrat Hadi yang mahu muncul dalam kaca televisyen secara langsung selama sejam untuk menerangkan keadaan sebenar berhubung isu pepecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanatnya yang mengkafirkan Umno pada 1981, di Kuala Terengganu. Dalam pada itu, Rais meminta parti-parti politik dalam negara ini supaya bersatu dalam konteks kemasyarakatan Malaysia.

Malaysia harus dibantu tanpa mengira latar belakang politik, agama dan budaya supaya negara ini terus mendapat tempat tertinggi dalam aturan keduniaan dan antarabangsa, katanya.

"Kita perlu bersatu dalam konteks di luar politik dan bukan hanya politik sahaja yang boleh satukan kita, tetapi perasaan kekitaan sebagai rakyat Malaysia," katanya.

"Orang PKR (Parti Keadilan Rakyat) perlu jayakan anak mereka, orang Umno pun sama, kita tidak boleh terlalu banyak berlopak dalam politik sampai kita lupakan negara dan kewarganegaraan kita," katanya.

Di PUTRAJAYA, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula mengesyorkan supaya Hadi mengadakan sidang akhbar terbuka atau melalui web TV mengenai amanatnya tanpa perlu memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Menurut Ahmad tindakan Presiden PAS itu yang hanya mahu tampil di stesen televisyen tertentu seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3, seolah-olah mempunyai agenda tersendiri.

"Mungkin ada tujuan-tujuan tertentu. Tapi pada saya panggil sidang akhbar lagi ramai boleh datang. Ia boleh disiar secara langsung oleh segala web TV. Nak panggil stesen TV luar negara pun boleh," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kopitiam Killiney Putrajaya di sini, Isnin.

Ahmad berkata pada sidang akhbar Sabtu lepas selepas sekian lama berdiam diri daripada menjawab isu berkenaan, Hadi tidak memaklumkan untuk menarik semula amanat itu, tetapi hanya ingin memberi penjelasan.

"Mudah-mudahan dia akan tarik amanat itu. Tapi kelihatannya sukar. Saya kira kalau dia menarik balik amanat itu dan memohon maaf, dia berjiwa besar seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Walaupun tak nampak apa salah perdana menteri, tapi (memohon maaf) bagi pihak pemimpin yang tidak turun padang, yang tidak melaksanakan tugas dengan baik yang menyebabkan kekalahan pada pilihan raya umum 2008," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Selasa, 25 November 2014 1:00 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 2)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan