Penetapan Harga Maksimum Pastikan Rebat Telefon Sampai Kepada Golongan Sasar

Diterbitkan: Isnin, 31 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemberian rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar berharga sehingga RM500 untuk belia yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak sepatutnya menimbulkan keresahan di kalangan mereka.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), ini kerana objektif pakej itu ialah untuk membantu golongan belia yang kurang berkemampuan mendapatkan akses internet kelajuan tinggi 3G.

"Mereka yang mampu memiliki telefon berharga RM500 (dan lebih) sebenarnya bukanlah kategori yang dihasratkan atau sebagai sasaran (pakej ini)," kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi ketika mengumumkan syarat pakej itu Selasa lepas.

Ini jelas menunjukkan bahawa hasrat kerajaan hendak memastikan rebat yang diberikan itu sampai kepada golongan sasaran, iaitu para belia yang tidak mampu membeli telefon pintar berharga lebih RM500.

Penetapan harga maksimum RM500 disokong oleh Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang berpendapat mereka yang mampu membeli telefon pintar berharga lebih RM500 tidak perlu memohon supaya peluang terbuka kepada belia lain yang kurang mampu memenuhi kuota 1.5 juta orang belia di bawah tawaran pakej itu.

Mohamed Maliki berkata golongan belia perlu melihat keperluan sebenar mereka yang mahu dipenuhi kerajaan di bawah pakej tersebut, iaitu bagi mendapatkan kemudahan internet berkelajuan tinggi 3G, dan bukannya untuk memenuhi kehendak mereka memiliki gajet berteknologi tinggi.

Kenyataan beliau ini menimbulkan persoalan adakah belia sedar bahawa pakej itu merupakan bantuan kerajaan kepada yang memerlukan, bukan untuk mereka 'berfoya-foya' membeli telefon berjenama mengikut kegemaran sendiri.

Mohamed Maliki menasihatkan belia yang resah itu supaya belajar melihat keperluan orang lain terlebih dahulu, bukan melihat keperluan mereka sahaja.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma'amor Osman bersetuju dengan pendapat bahawa syarat yang ditetapkan di bawah pakej itu akan memastikan bantuan itu sampai kepada golongan sasar.

Malah, beliau memohon kerajaan agar memantau ketat kriteria pemilihan bagi memastikan hanya belia yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan melalui skim itu.

Ma'amor berkata selain pembelian telefon pintar, belia perlu melihat kepada kos yang perlu ditanggung selepas memiliki telefon itu nanti seperti membayar bil telefon dan internet.

Mengumumkan rebat tersebut ketika membentangkan Belanjawan 2013 September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia sebagai usaha kerajaan memberi 1.5 juta belia akses kepada gerbang maklumat dengan peruntukan RM300 juta.

Bagaimanapun, niat murni kerajaan memberikan bantuan bagi membolehkan belia kurang mampu menikmati kemudahan internet 3G dijadikan bahan politik oleh pembangkang yang mendakwa kononnya inisiatif itu dibuat bagi membantu pihak tertentu menghabiskan stok lama telefon pintar mereka.

Namun, pihak kerajaan tetap prihatin terhadap keresahan para belia walaupun ia mungkin disebabkan mereka kurang faham tentang objektif dan matlamat yang hendak dicapai di bawah inisiatif berkenaan.

Keprihatinan ini dapat dilihat apabila Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan akan membawa isu keresahan belia itu dengan pakej itu ke Kabinet pada 2 Januari depan.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N.Marimuthu berkata inisiatif pakej komunikasi belia itu merupakan bantuan subsidi yang diberikan kerajaan saban tahun.

"Kita kena lihat bantuan rebat telefon pintar ini seperti subsidi kerajaan dan perlu diuruskannya dengan baik bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasar.

"Dalam Belanjawan 2013, pakej itu dibberi peruntukan RM300 juta untuk 1.5 juta belia, dan kerajaan kenalah memastikan sampai kepada golongan sasar iaitu belia yang kurang mampu, maka perlulah menetapkan syarat," katanya kepada Bernama.

Marimuthu berkata sekiranya harga telefon pintar yang boleh dibeli tidak diletakkan harga maksimum, dikhuatiri belia yang membeli telefon pintar canggih akan menafikan hak belia yang kurang mampu.

Beliau kesal dengan permintaan belia yang mempunyai kemampuan membeli telefon pintar berharga lebih RM500, yang mahu supaya harga maksimum itu dinaikkan antara RM1,000 hingga ke RM2,000. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan