Banjir Di Kelantan, Terengganu Hampir Pulih Sepenuhnya

Diterbitkan: Isnin, 31 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan hampir pulih sepenuhnya dengan keseluruhan mangsa di kedua-dua negeri itu menurun kepada 144 orang setakat pagi Isnin berbanding 149 malam Ahad.

Bilangan mangsa banjir tertinggi yang dicatatkan sejak bencana alam itu melanda Pantai Timur untuk tempoh seminggu adalah 23,235 orang, iaitu pada Khamis lalu.

Di TERENGGANU, hanya satu pusat penempatan banjir iaitu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu masih dibuka yang menempatkan 119 mangsa.

Mereka terdiri daripada 24 keluarga dan dijangka pulang pada hari ini bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Menurut portal banjir negeri jumlah mangsa korban banjir di Terengganu setakat ini masih enam orang.

Di KELANTAN, keadaan banjir di Tumpat hampir pulih apabila hanya tinggal 25 orang sahaja yang masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu membabitkan lima buah keluarga dari Kampung Simpangan dan Kampung Pak Keral yang rumah mereka masih terjejas akibat banjir.

Cuaca di Kelantan kini mendung dengan hujan renyai sekali-sekala. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan