Abdul Hadi Minta Satu Jam Masa Siaran Jelaskan Amanatnya

Diterbitkan: Ahad, 30 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada 1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.

Pemimpin tertinggi PAS itu berkata, jika diberi peluang itu, beliau akan menjelaskan segalanya berkaitan amanat beliau mengkafirkan Umno supaya masyarakat dapat menilainya.

Pada masa sama, Abdul Hadi berkata, beliau juga bersedia memberi penjelasan secara bertulis mengenai pendiriannya itu berkaitan amanat yang dicetuskan sejak lebih 30 tahun lepas.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan Petugas Muslimat Marang PRU ke-13 di Dewan Tok Guru, Rusila dekat sini, Sabtu.

Amanat Hadi itu mendapat bantahan ramai malah pelbagai pihak termasuk bekas anggota PAS mendesak Abdul Hadi menarik balik amanat itu demi kekuatan ummah dan perpaduan orang Melayu.

Abdul Hadi turut menolak dakwaan kononnya beliau lama mendiamkan diri kerana takut sebaliknya berkata beliau hanya akan menyatakan pendiriannya sama ada akan menarik balik atau mempertahankan Amanat Hadi itu sekiranya dapat menjelaskan tersebut menerusi siaran televisyen.

Pelbagai pihak turut tampil mendesak agar Presiden PAS itu menarik balik amanatnya itu.

Bekas anggota PAS seumur hidup Zainon Ismail mendedahkan bahawa puluhan ribu anggota PAS masih berpegang teguh kepada Amanat Hadi yang menganggap orang Umno kafir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan