Komuter Beroperasi 24 Jam Sempena Sambutan Tahun Baru

Diterbitkan: Sabtu, 29 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan beroperasi mulai 6 pagi pada 31 Disember sehingga 6 pagi keesokannya sempena sambutan Tahun Baru 2013.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd Hider Yusoff berkata, lanjutan masa itu bertujuan memudahkan perjalanan pulang orang ramai yang meraikan sambutan itu.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, KTMB melanjutkan operasi komuter sehingga 2 pagi. Bagaimanapun, kita dapati masih ada penumpang yang memerlukan perkhidmatan komuter untuk pulang selepas waktu itu," katanya kepada pemberita sebelum majlis Persandingan Pengantin di Stesen Komuter Sentul di sini, Sabtu.

Berikutan lanjutan masa itu, katanya, KTMB menambah 48 tren bagi melancarkan perkhidmatan komuter di laluan Sungai Gadut ke Rawang, Rawang ke Sungai Gadut, Batu Caves ke Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Klang ke Batu Caves.

"Untuk itu, KTMB juga menugaskan kakitangan tambahan sepanjang tempoh itu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan," katanya.

Selain itu, Mohd Hider menasihatkan penumpang supaya membeli tiket perjalanan pergi balik bagi tarikh itu lebih awal untuk mengelak kesesakan di kaunter tiket dan mesin tiket.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan di talian bebas tol 1-300-88-5862 atau ke stesen KTM Komuter berdekatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan