Warga Indonesia Selesa Cari Rezeki Di Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 28 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mencari rezeki dengan bekerja di Malaysia merupakan pilihan terbaik menurut pandangan sebahagian warganegara Indonesia yang sudah lama bekerja di negara ini dalam sektor-sektor yang dibenarkan kerajaan.

Mereka mengakui murah rezeki di bumi Malaysia kerana terdapat banyak dan luasnya peluang pekerjaan selain faktor majikan yang baik bagi yang bekerja sebagai pembantu rumah, upah yang lumayan bagi pekerja sektor lain berbanding dengan di kampung asal mereka dan berasa aman tinggal di sini dengan mempunyai surat perjalanan dan visa yang lengkap.

Aspek surat dan dokumen perjalanan yang sah sentiasa menjadi nasihat utama Duta Besar Indonesia di Malaysia yang baru Herman Prayitno kepada warga Indonesia di segenap ceruk rantau Malaysia.

Beliau tidak mahu warga Indonesia yang bekerja di negara ini mengambil mudah hal ehwal pengurusan dokumen penting seperti pasport dan pembaharuan permit kerja bagi mengelak sebarang kesulitan kepada pekerja, yang sekali gus dapat pula menjamin hak-hak mereka sebagai pekerja di negara ini.

"Selain itu, warga Indonesia di Malaysia juga harus menjunjung undang-undang negara ini, bekerja dengan baik dan hidup dengan aman," katanya pada satu pertemuan dengan sebahagian warga negara Indonesia di sini baru-baru ini.

Sehingga kini dianggarkan terdapat seramai dua juta warganegara Indonesia yang bekerja di Malaysia dengan 20 peratus daripadanya bekerja sebagai pembantu rumah.

Banyak pengalaman manis dan menarik yang dialami oleh tenaga kerja Indonesia di Malaysia, juga cerita-cerita kejayaan mereka membantu menyara keluarga di tanah air , malah mengumpul cukup wang untuk membeli serba sedikit harta seperti rumah dan kenderaan di kampung halaman.

Seorang pembantu rumah warga Indonesia, Sutini, 37, tidak pernah menyangka majikannya memberikan limpahan kasih sayang dan menghormati dirinya sekali gus mengubati kerinduannya kepada keluarga di Indonesia.

"Saya sayang kepada majikan sebab saya hormati dia dan pada masa yang sama dia pun hormati saya serta beri kebebasan kepada saya di sini...saya memang untung mendapat majikan sepertinya.

"Dulu saya pernah jaga ibu majikan saya semasa dia jatuh sakit, jadi dia (majikan) tahu saya ikhlas. Saya jaga emaknya seperti ibu sendiri sebab saya pun tiada ibu sejak kecil," katanya yang kemudiannya pula menjaga majikannya yang disahkan doktor menghidap barah kerongkong.

Sutini yang telah berkhidmat selama lapan tahun sebagai pembantu rumah kepada Ngeow Yee Kong, 50, di Cameron Highlands turut diberi kepercayaan untuk menguruskan perniagaan sayur setelah majikannya itu jatuh sakit.

Sementara itu, seorang lagi pembantu rumah dari Indonesia, Khomisah Khasanudin, 39, berkata umpama mimpi, beliau tidak menyangka berpeluang meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dengan belajar bahasa Inggeris apabila menjejak kaki ke Kuala Lumpur.

"Apatah lagi, dapat belajar pula secara gratis (percuma).(I) cannot believe. (When I) go back home (to East Java) I can talk English," katanya ketika ditemui Bernama di kelas yang diadakan di tingkat atas sebuah restoran makanan Indonesia dekat Pasar Seni baru-baru ini.

Mengakui buta huruf, beliau belajar dengan cara menghafal dan mengulangi lafaz dan kata-kata untuk perbualan harian dalam bahasa Inggeris.

Bekerja di rumah majikannya di Bangsar, dia hanya mengeluarkan belanja RM4 seminggu sekali untuk tambang bas pergi balik ke kelas itu selain sedikit lagi untuk makan tengah hari bersama rakan sekelas.

"Saya juga beruntung kerana majikan tidak menghalang, sebaliknya sangat kuat mendorong saya belajar untuk menambah pengetahuan," katanya, yang menganggap Malaysia sebagai bumi bertuah baginya.

Sutini dan Khomisah adalah dua cerita kejayaan rakyat Indonesia membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka di kampung halaman dengan hasil rezeki halal yang diperolehi di Malaysia.

Banyak lagi tenaga kerja Indonesia yang mempunyai cerita-cerita manis termasuk yang berpeluang melawat ke pelbagai negara dan juga mengerjakan umrah bersama majikan mereka.

Bagi Ketua Kumpulan Ibu-Ibu Indonesia yang menetap di Malaysia atau dikenali 'IndoKL Women', Yuri Hudiyana Utami yang sudah hampir 10 tahun menetap di negara ini kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai Pengurus Teknologi Maklumat di sebuah sekolah antarabangsa, rasa kekok menyesuaikan diri hanya sebulan dua terawal sahaja.

Faktor bahasa yang hampir sama, sosiobudaya yang tidak banyak berbeza, pelbagai kemudahan awam dan keramahan rakyat Malaysia berbilang kaum serta keadaan aman damai merupakan antara penambat hati mereka untuk terus menetap di negara ini.

"Layanan baik yang saya terima daripada rakan dan sahabat handai Malaysia termasuk jiran tetangga dan rakan-rakan sekerja suami, membuatkan saya cepat merasa seperti berada di rumah sendiri. Saya percaya ramai lagi yang mempunyai pengalaman sama dengan saya.

"Benar, tidak susah untuk jatuh hati kepada Malaysia dan rakyatnya. Asal ikhlas bergaul dengan jiran-jiran, kita dapat rasai keikhlasan dan penerimaan mereka...secara tak langsung boleh ubah pandangan kita terhadap orang Malaysia dan juga pandangan orang Malaysia terhadap orang Indonesia," katanya.

Beliau berkata hal fasiliti yang lebih teratur dan sistematik serta sistem pemerintahan yang diterajui dengan baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberi keselesaan kepada mereka untuk terus tinggal di sini.

Bagi wartawan Aulia Badar pula, pengalaman yang ditimba di Malaysia bukan sekadar melaporkan mengenai perkembangan ekonomi, sosio-budaya dan pendidikan di negara ini untuk tatapan warga Indonesia, malah turut membuka peluang baginya berbakti kepada sesama tenaga kerja Indonesia di sini.

Kelas latihan bahasa Inggeris dan komputer dan yang diusahakannya dengan beberapa lagi ekspatriat profesional Indonesia di sini sudah melatih lebih 100 rakan senegara menimba kemahiran baru, malah kini diperluaskan dan dengan kebenaran Kedutaan Indonesia dipindahkan ke premis tetap di Sekolah Indonesia di sini untuk menampung lebih banyak permintaan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan