Jangan Sebar Khabar Angin Berhubung Tahap Keselamatan

Diterbitkan: Khamis, 27 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Keadaan di Sungai Petani, Kedah, yang sebelum ini didakwa berlaku rusuhan, berada dalam keadaan selamat dengan penduduknya menjalani kehidupan harian seperti biasa, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

"Keadaan di sana (Sungai Petani) seperti biasa, cuma saya ingin sarankan jangan sebarkan khabar angin mengatakan keadaan keselamatan tergugat.

"Jangan meragui tahap keselamatan di negara ini kerana kita ambil tindakan bukan sahaja di Sungai Petani, tetapi seluruh Malaysia," katanya kepada pemberita selepas program Kepolisan Berprofil Tinggi di Pasar Awam Sungai Bakap dan Pasar Pagi Jalan Badak di sini, Khamis.

Pada 16 Dis lepas, tersebar berita mengenai rusuhan kaum dalam laman-laman sosial sehingga menimbulkan keresahan awam dengan polis menafikan berita palsu itu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat.

Salleh berkata beberapa individu yang ditahan bagi membantu kes berkenaan masih direman untuk membantu pihak polis melengkapkan siasatan.

"Berapa ramai yang masih ditahan saya tidak boleh dedahkan, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan ia adil.

"Selepas kertas siasatan lengkap, kita akan serahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya, sama ada akan dituduh di mahkamah atau tidak terpulang pada tindakan susulan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan