Barangan Keperluan Makanan Di Pahang Dijamin Mencukupi Semasa Musim Banjir - Berita Semasa | mStar

Barangan Keperluan Makanan Di Pahang Dijamin Mencukupi Semasa Musim Banjir

Diterbitkan: Khamis, 27 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang hari ini memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan makanan semasa musim banjir ini sentiasa mencukupi.

Pengarahnya, Mohd A. Aruwan Ab Aziz berkata sebanyak 28 barang keperluan utama disenaraikan di dalam stok penimbal di Pahang.

"Setakat ini semua barangan keperluan itu masih mencukupi untuk orang ramai dan kita beri jaminan barangan keperluan adalah cukup semasa musim banjir ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Jualan Kembali ke Sekolah’ di sebuah pasar raya di sini Khamis.

Beliau berkata sebanyak 109 pemegang stok yang ditetapkan terdiri daripada pemborong serta peruncit besar juga telah diminta bersiap sedia membekalkan barangan keperluan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

"Kita juga meminta 109 pemegang stok supaya memastikan bekalan makanan asas sentiasa cukup dan dapat diedarkan ke pusat pemindahan banjir melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi lain," katanya.

Berkenaan dengan pemeriksaan harga barangan semasa sambutan perayaan Krismas yang baru disambut, beliau berkata sebanyak 1,620 pemeriksaan dilakukan ke atas premis-premis perniagaan.

"Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pada 23 Disember sehingga hari ini, kes-kes yang dikesan ialah peniaga runcit yang tidak meletakkan tanda harga ke atas barangan yang dipamerkan untuk jualan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 10 amaran dikeluarkan kepada peniaga yang melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga merah jambu ke atas barang harga terkawal. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan