Polis Percaya Selesaikan 10 Kes Ragut, Samun Dengan Penahanan Seorang Lelaki

Diterbitkan: Rabu, 26 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Polis percaya berjaya menyelesaikan 10 kes ragut dan samun yang dilakukan 'Geng Monyet' di sekitar bandar raya ini selepas menahan seorang anggota kumpulan tersebut di Jalan Skudai, di sini, Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara Supt Beh Eng Lai berkata lelaki berumur 25 tahun itu ditahan anggota polis peronda selepas dia bersama lima rakan yang lain bertindak meragut satu telefon bimbit daripada seorang pekerja kilang di sebuah stesen minyak di Kampung Pasir, Tampoi, di sini, 4.15 pagi tadi.

"Lelaki itu dan rakan-rakannya menaiki tiga motosikal ketika meragut telefon bimbit Samsung Galaxy Note dari wanita berumur 38 tahun yang hendak keluar bekerja di Singapura itu. Anggota polis yang melihat kejadian itu terus mengejar lelaki tersebut dan rakan-rakannya sejauh satu kilometer sebelum lelaki tersebut dapat ditahan apabila motosikalnya terbabas," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Beh berkata pemeriksaan pada lelaki itu menemui semula telefon bimbit yang diragut, sebilah pisau serta satu pemutar skru yang diasah yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah terbabit.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek baru sahaja dibebaskan dari penjara bulan lepas selepas lima tahun dipenjarakan atas kesalahan rogol.

Katanya suspek akan direman mulai Rabu dan polis kini sedang menggiatkan usaha mengesan lima rakannya yang berjaya melarikan diri.

Sementara itu, dalam kes lain, Beh berkata pihaknya turut percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun membabitkan kedai dobi, kafe siber dan kedai telefon bimbit di bandar raya ini selepas menahan dua remaja lelaki di hadapan sebuah kafe siber di Jalan Kebudayaan 16, Taman Universiti, Skudai, di sini Ahad lepas.

"Kedua-dua mereka yang berumur 14 dan 17 tahun itu ditahan pada 5 pagi selepas dikejar anggota polis. Sebelum itu, mereka dilihat cuba membuang sebilah parang apabila menyedari kehadiran polis," katanya.

Beh berkata kedua-dua mereka yang dipercayai anggota 'Geng Kogi Stulang' itu akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun dan polis kini sedang berusaha mengesan empat lagi rakan mereka yang dipercayai turut terlibat dalam jenayah sama. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan