PBRS: Parti Kecil Tekad Galas Tugas Penting Bantu Kemenangan BN Pada PRU-13

Diterbitkan: Rabu, 26 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Meskipun Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) merupakan sebuah parti komponen yang 'kecil', namun parti itu bertekad untuk sedaya-upaya mempertahankan kerusi yang diwakilinya, sekali gus membantu Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) seperti yang diharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil mengakui PRU-13 sebagai persaingan yang amat getir, Tan Sri Joseph Kurup yakin parti yang dipimpinnya mampu memainkan peranan seumpama parti 'besar' dan BN akan kekal memegang tampuk pemerintahan di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Bagi PBRS, Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata parti itu sudah siap-siaga 'bertarung' di gelanggang pilihan raya untuk memastikan kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu terutama kerusi sedia ada iaitu Parlimen Pensiangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook kekal dalam genggaman BN.

Pada pilihan raya 2008, Kurup, 67, diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen Pensiangan manakala Timbalan Presiden yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Ellron Angin mengetepikan cabaran parti pembangkang bagi kawasan DUN Sook.

Dengan berbaki beberapa bulan sebelum pilihan raya umum, Kurup berkata tumpuan kini berfokus kepada memantapkan jentera parti bagi memastikan parti itu berada pada tahap tertinggi untuk mengharungi cabaran pilihan raya yang penuh propaganda pembangkang.

Sehubungan itu, beliau berkata PBRS akan menggunakan kongres yang akan berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini (28 Dis) sebagai platform bagi menyemarakkan semangat anggota parti selain memperkemaskan persediaan jentera parti.

Katanya kongres PBRS adalah tempat untuk meningkatkan semangat anggota parti untuk bekerjasama dengan calon di kawasan yang dicalon oleh BN.

"Kami sedang dalam sedaya-upaya menyampaikan, melaksanakan dan menterjemahkan dasar-dasar kerajaan. Kongres akan memfokus tumpuan untuk memberitahu para perwakilan untuk membuat persediaan rapi menghadapi pilihan raya.

"Kita akan membuat ketetapan untuk menyokong dan memberi undi kepada calon BN," katanya kepada Bernama dalam satu temuramah eksklusif di sini, Rabu.

Kongres itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu ini.

Sambil menyatakan taat setia kepada BN dan tidak akan bersikap keluar parti seperti Parti Maju Sabah (SAPP), Kurup memperjelaskan mengenai terlalu banyak pengorbanan parti terhadap BN termasuk sanggup mengetepikan soal jawatan mahupun kepentingan peribadi.

"Kami akan terus membantu BN memberi 'kerajaan' kepada BN (sejak penubuhan (1994) dan setelah itu tahun 1994 parti dikatakan telah terlepas pandang di mana keistimewaan kami sama ada jawatan setiausaha politik, senator, kerusi yang diwakili (parti) diberi kepada lain parti.

"Namun demikian, kami tetap bertahan dalam BN walau apa pun kerana kami tahu betapa penting untuk kami meneruskan perjuangan sebagai parti komponen dan kami tidak mahu melemahkan BN (seperti SAPP).

"Daripada itu, terbukti ketaatan kami pada BN," katanya sambil menambah beliau sanggup digugurkan daripada jawatan timbalan menteri pada 2004.

Beliau turut menambah BN adalah parti pilihan terbaik untuk seluruh rakyat termasuk Sabah disebabkan pelbagai kejayaan dan keistimewaan pembangunan yang tidak disangka-sangka akan 'sampai' sehingga ke ceruk pelosok pedalaman seperti kawasannya di Pensiangan.

"Pelbagai pembangunan telah berlaku bagi membela nasib setiap rakyat yang diwakili termasuk hampir RM1 bilion diperuntukkan bagi Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) di Sook, projek pembekalan air bersih yang belum pernah berlaku di Pegalungan dengan peruntukan RM56 juta, pembaikan rumah panjang, Program Bantuan Rumah Tempatan (PBRT), Hospital Keningau dan Hospital Nabawan," katanya.

Sambil menyifatkan setiap pilihan raya umum sebagai menggalas tugas yang berat, Kurup dengan yakin berkata: "Kami tidak gentar bahkan mahu meneruskan perjuangan...kami akan terus taat kerana semua ini sudah banyak yang kami lalui.

Kami bukan mementingkan (kepentingan) peribadi tetapi kemajuan rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan BN."

Beliau percaya bahawa rakyat di negara ini termasuk di Sabah tidak membuat tafsiran yang salah dalam menentukan masa depan negara ini berdasarkan rekod pencapaian cemerlang BN yang perlu dikekalkan sebagai parti pemerintah.

Mengenai soal pembahagian kerusi yang diwakili setiap komponen BN, Kurup berpandangan: "Kerusi yang sedia ada mesti dikekalkan kepada mereka tetapi saya berpendapat perlu buat pengecualian dan parti perlu cari kesesuaian (pembahagian kerusi kosong) kerana kita hendak menang selain kita kena mengadakan satu persefahaman dan bertolak ansur."

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman kerana berjaya mentadbir negeri ini dengan jayanya disertai kejayaan Sabah menguruskan kewangannya dengan cemerlang, membuktikan kemampuan kerajaan negeri mengurus hasil negeri dengan baik.

Sementara itu, katanya, Najib yang juga pengerusi BN berjaya membuktikan beliau adalah perdana menteri untuk semua rakyat dengan mentadbir kerajaan yang tidak akan sesekali meminggirkan mana-mana pihak di bawah gagasan 1Malaysia.

"Menerusi Belanjawan 2013, saya belum pernah lihat belanjawan mesra yang menjurus kepada semua lapisan masyarakat, mulai pembelaan anak-anak di sekolah, di peringkat remaja, ibu tunggal, warga emas, masalah Rela dan pegawai kerajaan turut mendapat pembelaan," katanya.

Beliau berkata konsep 1Malaysia berjalan dengan baik kerana ia bukan slogan semata-mata, sebaliknya disusuli tindakan selaras mengikut Perlembagaan Malaysia. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan