Banjir Buruk Di Kuantan, Mangsa Banjir Di Kelantan, Terengganu Terus Meningkat

Diterbitkan: Isnin, 24 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TENGGELAM… Kelihatan air melimpahi jalan dan menenggelamkan beberapa buah kereta selepas banjir di bandar Kuantan, Isnin. -fotoBERNAMA
TENGGELAM… Kelihatan air melimpahi jalan dan menenggelamkan beberapa buah kereta selepas banjir di bandar Kuantan, Isnin. -fotoBERNAMA

KUANTAN: Hujan yang turun pada awal pagi lebih daripada lima jam telah menyebabkan Kuantan dilanda salah satu daripada banjir terburuk dalam beberapa dekad ini dan menjadikan bandar ini mengalami kesesakan jalan raya di jalan-jalan utama yang dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Pada Isnin, lebih 300 penduduk dari beberapa kawasan di bandar Kuantan terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat bantuan.

Di sesetengah kawasan, kereta telah terkandas dan menyaksikan kesesakan lalu lintas yang serius di Kuantan.

Antara jalan-jalan yang ditenggelami banjir sehingga pukul 3 petang Isnin adalah Jalan Tun Ismail Satu, Jalan Beserah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Abd Aziz, Jalan Mahkota, Jalan Bukit Ubi, Jalan Air Putih, Jalan Pasar dan Terminal Makmur.

Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kebanyakan sistem perparitan yang sedia ada didapati terlalu sempit dan sudah usang menyebabkan ia tidak dapat menampung jumlah air hujan sehingga ia melimpah dan mengakibatkan banjir kilat di sekitar pusat bandar.

"Ketika saya terbang tadi (dengan helikopter) buat tinjauan, ia (banjir kilat) bukan disebabkan oleh paras air sungai yang meningkat atau sistem perparitan yang tersumbat.

"Tapi saya perhatikan banyak parit dan longkang yang terlampau sempit menyebabkan air tidak boleh nak keluar. Saya harap kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran dapat kaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan dan perumahan di bandar Kuantan ini," Bernama melaporkan.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas melawat 302 orang mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Galing di sini Isnin.

Selain itu, Tengku Abdullah juga berharap agar orang ramai dapat memberi sumbangan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di sekitar bandar ini.

Langkah itu, titah baginda ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa yang terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang akibat banjir kilat yang disifatkan terburuk dalam tempoh beberapa tahun ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhamad Safian Ismail yang turut hadir berkata setakat 5 petang, seramai 594 mangsa banjir di negeri ini telah ditempatkan di enam buah pusat pemindahan iaitu empat di Kuantan dan masing-masing sebuah di Pekan dan Rompin.

Di Kuantan, selain SK Galing, seramai 77 orang mangsa banjir ditempatkan di SK Cenderawasih, Sekolah Menengah Pandan (93 orang) dan Balai Raya Tanjung Lumpur (20 orang).

Manakala di Pekan seramai 66 orang mangsa ditempatkan ke SK Sungai Miang dan di daerah Rompin 36 mangsa ditempatkan di Balai Raya Lintang.

Sementara itu jumlah mangsa banjir di TERENGGANU, menurut laporan Bernama, terus meningkat dan setakat pukul 9.30 malam Isnin seramai 1,301 orang berada di pusat pemindahan.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, semua daerah di Terengganu telah dibuka penempatan banjir dengan daerah Kemaman merupakan daerah terakhir membuka satu (1) pusat pemindahan di Balairaya Batu 14 melibatkan enam mangsa (dua keluarga).

Sehingga malam Isnin, sebanyak 30 buah pusat pemindahan telah dibuka.

Pusat pemindahan mangsa banjir yang beroperasi sekarang ialah di Setiu sebanyak 12; Hulu Terengganu (7); Dungun (5); Besut (2); Marang (2), Kuala Terengganu (1), dan Kemaman (1).

Sehingga petang Isnin, daerah Setiu mencatat mangsa banjir teramai dimana seramai 461 orang dipindahkan iaitu melibatkan 128 keluarga di 12 pusat penempatan banjir.

Ini diikuti Hulu Terengganu 154 orang (61 keluarga); Dungun 317 orang (80 keluarga); Besut 101 orang (27 keluarga); Marang 171 orang (41 keluarga) dan Kuala Terenggganu 91 orang (25 keluarga).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 857 orang malam Isnin berbanding 102 pada sebelah petang.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, pertambahan itu berikutan air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang di Pasir Mas melimpahi tebing.

Sehingga pukul 9 malam Isnin, Tanah Merah adalah jajahan terbaru mencatatkan mangsa banjir seramai 119 orang di Bukit Panau.

Kesemua mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Di Pasir Mas ia membabitkan seramai 116 orang yang dipindahkan di empat buah pusat di Kampung Kangkong.

Di Kota Baharu, seramai 206 mangsa banjir ditempatkan di empat buah pusat manakala mangsa teramai yang dipindahkan adalah di Kuala Krai seramai 354 orang di tiga buah pusat.

Di Machang, jumlah yang dipindahkan masih kekal empat orang manakala di Pasir Puteh bertambah kepada 58 orang berbanding 18 sebelum ini.

Paras air sungai Golok kini melebihi paras bahaya manakala sungai-sungai lain melepasi paras amaran.

Bagaimanapun belum ada jalan yang ditutup dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehingga ini.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan