Pengerusi Kuil Kesal Sikap Acuh Kerajaan Negeri S'gor

Diterbitkan: Ahad, 23 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PELEK: Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman R.Vellasamy kesal dengan sikap acuh tidak acuh kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan pakatan pembangkang dalam menyelesaikan isu tapak kuil itu.

Beliau berkata beberapa pucuk surat telah dihantar kepada kerajaan negeri meminta agar satu jalan penyelesaian berkaitan isu tapak kuil seluas hampir 0.8 hektar milik sebuah syarikat perladangan dan hartanah yang terletak di Ladang Teluk Merbau di sini.

Vellasamy berkata selepas mendapat surat daripada pemilik tanah pada 1 April 2011 meminta tapak itu dikosongkan dan pihak pengurusan kuil menghubungi kerajaan negeri bagi mendapatkan bantuan, tetapi hampa.

Katanya, beberapa surat untuk bertemu Pengerusi Jawatan Kuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar, exco yang bertanggungjawab berkaitan masyarakat India, bagi menyelesaikan isu itu sehingga hari ini tidak menerima sebarang maklum balas.

Oleh kerana tiada pilihan, beliau terpaksa mendapatkan bantuan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T. Murugiah pada tahun lepas di Kuala Lumpur bagi menyelesaikan isu itu, katanya pada sidang akhbar dan tunjuk perasaan di depan kuil tersebut Ahad.

Beliau berkata rundingan yang diatur Murugiah antara jawatankuasa pengurusan kuil itu dengan pemilik tanah berjaya menangguhkan pemindahan kuil tersebut.

Sementara itu, penasihat jawatankuasa tersebut Tan Tuan Tat berkata pihaknya ingin memohon tanah seluas 0.8 hektar berhampiran tapak kuil berkenaan daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, surat kepada Dr Xavier untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu belum mendapat sebarang maklum balas.

"Jika kami mendapat tanah itu daripada kerajaan negeri, kami bercadang untuk menyerahkan tanah daripada kerajaan negeri itu kepada syarikat tersebut supaya kuil sedia ada ini tak payah dirobohkan," katanya.

Ditanya sama ada pemilik tanah bersetuju dengan tawaran itu, Tan berkata mereka belum lagi membuat tawaran kerana tanah belum diperoleh. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan