Risda Yakin Kekalkan Bayaran Dividen RM300 Juta Tahun Ini

Diterbitkan: Jumaat, 21 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yakin dapat mengekalkan pembayaran dividen pada kadar RM300 juta pada tahun ini.

Ketua Pengarah Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata ini disokong produktiviti Risda yang kukuh, di tengah-tengah ketidakstabilan harga getah dan sawit.

Pada tahun lepas, pihak Risda membayar RM315 juta kepada peserta Rancangan Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersil (TSK), seluruh Malaysia. "Kita ada sedikit mengalami harga yang kurang baik. Harga sawit dan getah yang baik tapi tidak cukup tinggi seperti mana tahun-tahun lepas, masih baik sekitar RM8.50 sekilogram begitu juga sawit sekitar RM2,200 setan. "Jadi kita jangkakan harga sekitar demikian, mudah-mudahan dapat jumlah yang sama juga," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Wan Mohamad berkata RISDA merancang pelaburan sekitar RM720 juta tahun hadapan dengan lebih RM300 juta akan diperuntukkan untuk menanam semula 35,000 hingga 40,000 pokok getah bagi mengganti yang tua serta menambah produktiviti sedia ada.

Katanya program penanaman semula bagi tahun hadapan adalah antara yang terbesar pernah dilakukan RISDA, seiring dengan sasaran bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kepada RM2,500 sebulan pada 2015 dan RM4,000 pada 2020.

Mengenai rancangan mendapatkan tanah perladangan di luar negara, Risda kini berada pada peringkat akhir mendapatkan kelulusan kerajaan Kemboja untuk membangunkan 20,000 hektar tanah perladangan di negara itu.

Beliau yakin perjanjian dijangka dapat dimeterai tidak lama lagi, berikutan pendaftaran dua anak syarikatnya Espek Plantation Sdn Bhd dan Risda Plantation Sdn Bhd baru-baru ini.

"Kami masih lagi berunding untuk mendapatkan tanah itu, mungkin secara pajakan untuk menanam sama ada sawit atau getah oleh dua anak syarikat ini," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan