Meterai Pakatan Perkhidmatan & Pelaburan Secepat Mungkin - PM

Diterbitkan: Jumaat, 21 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya perjanjian perkhidmatan dan pelaburan antara India dan Asean dimeterai secepat mungkin dan dikuatkuasakan menjelang akhir 2013.

Perjanjian itu dijadualkan dimeterai pada Ogos 2013.

Asean dan India perlu menggerakkan lagi aktiviti ekonomi, kata Najib.

"Peluang yang tersedia sangat besar, kita mesti meningkatkan usaha bagi mempromosi dagangan barangan dan perkhidmatan selain pelaburan. Tidak ada contoh yang lebih baik daripada menyuarakan keyakinan terhadap negara lain dengan membuat pelaburan besar di negara berkenaan," kata Perdana Menteri.

Najib memuji kejayaan memuktamadkan rundingan perjanjian perkhidmatan dan pelaburan yang merupakan komponen penting Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) Asean-India.

"Berikutan dua perjanjian ini akan membolehkan sektor swasta kita meningkatkan lagi hubungan dalam mempromosi perdagangan dalam perkhidmatan dan meluaskan pelaburan merentas sempadan, saya mencadangkan supaya mereka menandatanganinya secepat mungkin.

Pelaksanaan itu boleh bermula tidak lewat daripada akhir 2013," katanya pada sesi pleno Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India 2012 di sini, Khamis.

"Saya berharap pelaksanaan perjanjian-perjanjian ini akan menggandakan, malah meningkatkan tiga kali ganda sasaran pelaburan dalam tempoh terdekat," kata Najib.

Beliau juga menggesa Asean dan India memperkukuh perundingan dalam isu berkaitan ekonomi dan kewangan global selain meningkatkan lagi hubungan sesama penduduk.

"Sejak krisis kewangan Asia 1997, Malaysia sentiasa dan tidak jemu menggesa transformasi dalam sistem kewangan dunia. Asean mahu bekerja dengan India dalam menghantar mesej ini pada forum-forum antarabangsa, termasuk Sidang Kemuncak G20," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata Asean dan India mempunyai pandangan sama terhadap cabaran keselamatan bukan tradisi, terutama di kawasan pengganas, perubahan iklim dan bantuan bencana semula jadi.

Beliau berkata walaupun kerjasama dalam bidang ini berjaya selama ini, terdapat potensi besar untuk usaha sama pada masa depan dalam bidang lain seperti sektor pertanian dan tenaga, bagi memenuhi cabaran jaminan makanan dan tenaga. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan