KKLW Lupus Hutang Lapuk Peneroka Kelantan Berjumlah RM133 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 21 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melupuskan hutang lapuk RM133 juta melibatkan lebih 6,000 peneroka dan pekebun kecil di seluruh Kelantan, kata menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata langkah itu bertujuan bagi mengurang beban peneroka dan pekebun kecil terbabit yang terpaksa menanggung hutang terlalu lama sejak 1978.

"Kebanyakan peneroka (berkenaan) tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) dan kampung tradisional di Kelantan selatan. "Kita sedar mereka terpaksa kena potong pendapatan dan dengan adanya pelupusan hutang ini dapat meringan beban mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis cakna menteri bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Kelantan di sini, Jumaat.

Pada majlis itu Mohd Shafie menyerahkan RM1.4 juta elaun kepada 1,498 kepada Setiausaha dan Pengerusi JKKP di seluruh negeri Kelantan.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata pada tahun depan kerajaan memperuntukkan RM138 juta kepada Kelantan dalam usaha untuk memastikan nasib rakyat luar bandar di negeri itu terbela. "Peruntukan itu dalam bentuk (kos) pembinaan jalan dan pelbagai usaha lagi kerana kita sedar dan tahu masih banyak lagi perlu kita salurkan bantuan ke kawasan luar bandar kerana banyak kampung amat memerlukan bantuan serta sokongan daripada kerajaan persekutuan.

"Kita akan pastikan perkara ini berjalan lancar pada tahun depan supaya kemudahan-kemudahan asas dapat ditingkatkan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan