Jaminan Bekalan Keperluan Mencukupi Pada Musim Perayaan Di Sarawak

Diterbitkan: Jumaat, 21 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak memberi jaminan bekalan keperluan untuk pengguna di negeri itu pada musim perayaan Krimas ini mencukupi.

Pengarahnya Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata ini berdasarkan jaminan yang diberikan oleh pemborong dan pembekal barangan keperluan dalam pertemuan yang telah diadakan.

"Hasil perjumpaan yang diadakan, mereka memberi jaminan bekalan makanan untuk keperluan musim perayaan Krismas ini dan sehingga perayaan Tahun Baru Cina depan cukup," katanya pada sidang media selepas Majls Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2012, Jualan Kembali ke Sekolah, dan Kempen Penurunan Harga yang diadakan serentak di sebuah pasar raya, pada Jumaat.

Mengulas mengenai skim kawalan harga, Wan Ahmad Uzir berkata skim itu berkuat kuasa selama lima hari dari 23 hingga 27 Disember depan.

"KPDNKK Sarawak menetapkan harga maksimum borong dan runcit ini berdasarkan kepada maklumat hasil pemantauan harga di semua daerah, kawasan di Sarawak bermula dari Januari hingga November lalu berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan.

"Selain itu pandangan pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri berkaitan termasuk Jabatan Pertanian, dan Bahagian Veterinar Sarawak, selain perbincangan dengan pengimport, pengeluar, pembekal serta pemborong barang-barang tersebut," katanya.

Wan Ahmad Uzir turut mengingatkan peniaga yang didapati melanggar peraturan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

"Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

"Peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan terbabit dan jika gagal boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat," katanya.

Antara barangan yang disenaraikan dalam skim kali ini ialah ayam hidup dengan harga maksimum RM6.70 sekilogram, ayam standard (RM8.50/kg), ayam super (RM9.80/kg), ayam belanda import (RM32/kg) dan daging kambing tempatan bertulang (RM30/kg).

Barangan lain ialah daging kambing biri-biri import bertulang (RM21/kg), daging paha kambing biri-biri import bertulang (RM38/kg), telur ayam gred A (36 sen sebiji), B (35 sen) dan C (34 sen), tomato(RM6/kg) serta lada benggala hijau (RM13/kg). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan