India Beri Projek Lebuh Raya Kepada Syarikat Malaysia - PM

Diterbitkan: Jumaat, 21 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Kerajaan India akan memberi dua projek lebuh raya di Tamil Nadu kepada syarikat Malaysia, mengikut perjanjian antara kerajaan.

Pada 2010, Malaysia dan India menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mengenai pembangunan dan pengurusan lebuh raya tersebut.

"Saya telah maklumkan bahawa pada peringkat yang pertama kita telah pun dapat menguatkuasakan MOU tersebut. Tetapi peringkat kedua dari segi penyampaian projek belum lagi dapat menjadi kenyataan," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas perjumpaan dua hala dengan Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh di sini.

Perdana Menteri India telah memberi kesanggupan dan komitmen bahawa beliau mengambil langkah langkah positif untuk merealisasikan fasa kedua MOU tersebut dengan memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam dua projek lebuh raya di Tamil Nadu.

Semasa ditanya mengenai lokasi projek tersebut di Tamil Nadu, Najib berkata: "Pengenalan projek dan syarikat akan dilakukan kemudian. Butir akan diumumkan kemudian apabila disahkan secara rasmi."

"Selain daripada itu, kita juga bersetuju kerjasama dengan India diperluaskan. India merupakan rakan yang amat strategik kepada Malaysia."

Memandangkan hubungan dua hala yang baik, "Malaysia adalah pintu masuk yang natural kepada syarikat-syarikat India untuk menyertai pasaran Asean yang lebih terbuka."

Mengenai Forum CEO Malaysia-India, Najib berkata ia merupakan antara forum CEO yang paling aktif.

"Forum berkenaan bertindak sebagai platform untuk sektor swasta berkongsi pengalaman mereka mengenai bagaimana beroperasi di India," kata beliau.

Pada umumnya, syarikat-syarikat Malaysia telah menunjukkan prestasi yang begitu dihargai dan dinilai secara positif oleh India terhadap kemampuan mereka.

"Projek-projek seperti monorel di Mumbai dan juga lebuh raya yang kita telah bina menunjukkan tahap kualiti yang kita boleh banggakan dan mereka juga menilai tinggi terhadap pencapaian kita." - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan