Selangor Tubuh Jawatankuasa Pendengaran Kaji Kenaikan Cukai Pintu –Abdul Khalid

Diterbitkan: Khamis, 20 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Pendengaran bagi mengkaji kenaikan cukai pintu di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Melayu Subang yang didakwa membebankan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Exco Kerajaan Negeri, Ean Yong Hian Wah akan mengetuai jawatankuasa pendengaran itu yang akan memulakan tugas secepat mungkin.

Selain daripada Ean, turut dilantik menganggotai jawatankuasa itu adalah wakil Majlis Bandaraya Shah Alam, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohtar Hani, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan wakil Perbendaharaan Negeri.

“Jawatankuasa ini akan menilai dakwaan yang dikemukakan dan mereka akan memberi penjelasan kepada pihak-pihak yang mahu mengetahui mengenai kenaikan cukai pintu ini sebelum ia dilaksanakan.

“Apa yang perlu rakyat tahu adalah kadar cukai pintu di negeri itu ditetap berdasarkan kadar semasa hartanah mengikut penilaian. Ia dikenakan berdasarkan penggunaan tanah. Sekiranya asalnya ia merupakan tanah pertanian, sudah pasti kadar cukai yang dikenakan tidak lagi sama jika ia dibangunkan kilang di tempat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Sabtu lepas MCA Selangor membidas tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana menaikkan cukai pintu sehingga 10 kali ganda, berkuat kuasa tahun depan.

Antara lain, Pengerusi MCA Bahagian Subang Lee Wei Kiat dilapor berkata rekod menunjukkan ada penduduk membayar RM1,470 kepada MBSA pada 2011, meningkat kepada RM5,512 pada 2012 dan notis baharu mencatatkan cukai pintu berjumlah RM23,040 bagi 2013.

Sementara itu, Abdul Khalid memberi jaminan tidak ada lagi lagi perobohan pembinaan tempat sembahyang (altar) masyarakat Hindu yang akan dibuat oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPS) selepas ini.

Beliau berkata, setelah meneliti laporan MPS mengenai insiden tersebut, pihaknya juga memutuskan pembinaan altar yang dibuat di dalam rumah tidak perlu mendapat keizinan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita telah meneliti laporan yang dibuat oleh MPS mengenai insiden perobohan struktur di kawasan perumahan berhubung dengan altar di Sepang dan juga telah menerima memorandum daripada masyarakat di kawasan tersebut serta menerima beberapa pandangan daripada kumpulan kaum India yang meminta kita mencari jalan yang sesuai untuk menyelesaikan perkara ini.

"Oleh kerana itu, kita bersedia buat kajian dan tiga perkara telah kita buat keputusan hari ini iaitu tidak akan ada perobohan yang akan dibuat oleh MPS. Kedua, tidak ada pembinaan boleh dibuat iaitu pembinaan tambahan di kawasan kediaman melainkan sehingga mendapat kelulusan dari PBT.

"Ketiga pembinaan altar (iaitu) tempat sembahyang untuk individu dan keluarga, kalau dibuat di dalam rumah tidak perlu mendapat kelulusan PBT,” katanya . Pada 20 November lalu, seramai 30 pegawai penguatkuasa MPS memasuki kediaman berpagar seorang penganut Hindu, Umah Devi di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan meruntuhkan altar di kediamannya.

Tindakan tersebut mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang menyelar tindakan Abdul Khalid yang didakwanya berdiam diri. Manakala Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam mengakui memberi kata dua dengan mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai menteri besar jika beliau gagal mengambil tindakan berhubung isu berkenaan.

Ditanya pemberita berhubung tindakan terhadap pegawai penguatkuasaan yang merobohkan altar tersebut, Khalid berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan dalam isu tersebut.

"Keputusan itu akan kita ambil secara berterusan. Buat masa ini kita mengkaji setiap memorandum dan setiap cadangan yang diberikan oleh semua pihak termasuk daripada kumpulan Hindu Sanggam, masyarakat di sekitar taman perumahan, termasuk juga individu yang berkenaan serta laporan yang dibuat PBT sendiri," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan