Kerajaan Nafi Harta Pusaka Tak Diwasiat Bernilai RM45 Bilion

Diterbitkan: Khamis, 20 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan jumlah harta pusaka tidak diwasiatkan atau terbeku, sebahagian besarnya milik umat Islam, bernilai kira-kira RM45 bilion.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata ketika ini tiada statistik khusus di Malaysia berkaitan nilai sebenar harta pusaka dan tanggungan pusaka yang masih belum ditadbir.

"Anggaran ini adalah tidak betul, ia hanya diutarakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab," katanya menjawab soalan Senator Rohani Abdullah pada persidangan Dewan Negara, di sini Khamis.

Liew berkata kerajaan mengalakkan rakyat menyegerakan permohonan pentadbiran harta pusaka di agensi berkaitan kerana tindakan melengah-lengahkan permohonan hanya akan menimbulkan masalah dan kerumitan termasuklah masalah sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi berkata bilangan kes keracunan susu sekolah 1Malaysia yang memberi manfaat kepada 1.5 juta murid pada tahun ini menurun berbanding tahun sebelumnya.

"Tahun ini sebanyak 71 episod keracunan dilaporkan iaitu menurun berbanding 85 episod keracunan sepanjang tahun lepas," katanya menjawab soalan Senator Khoo Soo Seang.

Puad berkata bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kes keracunan susu, pihaknya juga telah mengeluarkan buku garis panduan berhubung program susu dan taklimat mengenainya kepada semua jabatan negeri, daerah dan sekolah.

Beliau berkata kerosakan susu berlaku semasa proses penghantaran yang mana keadaan sekeliling termasuk keadaan di dalam pengangkutan itu sendiri mempengaruhi tahap kualiti susu.

"Kita akan berbincang dengan pembekal susu untuk menyediakan kemudahan penyimpanan bagi sekolah-sekolah yang tidak mempunyai stor simpanan lengkap kerana susu tersebut tidak boleh disimpan lama," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan