10 Syarikat Meterai CIP Akan Diaudit Tahun Depan

Diterbitkan: Khamis, 20 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sepuluh daripada 160 syarikat yang memeterai Ikrar Integriti Korporat (CIP) terhadap rasuah akan diaudit secara rawak mulai tahun depan.

Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Sutinah Sutan berkata auditan itu akan dilakukan dalam suku tahun pertama oleh satu pasukan pemantau SPRM yang ditubuhkan khas bagi tujuan itu.

Beliau berkata pemantauan akan dijalankan berdasarkan senarai semakan yang mengandungi elemen-elemen anti rasuah dalam sistem kawalan dalaman syarikat berkenaan.

"Kita akan buat pemantauan ke atas syarikat yang telah menandatangani CIP dan 'Integriti Pack' pada tahun lepas dan tahun ini.

"Kita memberi masa enam bulan untuk mereka melihat sistem kawalan dalaman masing-masing sama ada mempunyai polisi ke arah mencegah rasuah. Kalau tidak ada, kena wujudkan," katanya selepas menghadiri mesyuarat Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM di sini, Khamis.

Menurutnya sekiranya syarikat yang diaudit tidak mempunyai elemen atau dasar pencegahan rasuah dan integriti, pasukan pemantau akan membantu syarikat itu mewujudkan integriti dan langkah pencegahan punca rasuah serta menggalakkan kakitangan melaporkan sekiranya berlaku amalan rasuah di syarikat mereka.

Sementara itu, Sutinah berkata beliau amat berpuas hati dengan peningkatan jumlah syarikat yang memeterai CIP yang jelas menunjukkan komitmen mereka untuk memerangi gejala rasuah dan meningkatkan integriti syarikat.

"Ini satu perkembangan yang baik kerana mereka mengambil pendirian 'zero tolerance' terhadap rasuah dan mendokong prinsip integriti dan antirasuah dalam menjalankan transaksi perniagaan masing-masing dan semasa menjalankan transaksi dengan rakan kongsi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan