Fomca Perkenalkan Aplikasi Mudah Alih Tangani Isu Kepenggunaan

Diterbitkan: Selasa, 18 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memperkenalkan aplikasi mudah alih telefon pintar bagi membolehkan orang ramai menyalurkan isu-isu kepenggunaan kepada persatuan itu dengan lebih mudah dan berkesan.

Presiden Fomca, Datuk Marimuthu Nadason berkata, aplikasi itu merupakan julung kali diperkenalkan oleh sebuah pertubuhan pengguna di Malaysia.

"Apabila anda (pengguna) tidak berpuas hati atau memaklumkan tentang sesuatu (hal kepenggunaan), anda boleh terus membuat aduan dengan segera. Kita hari ini hidup dalam dunia teknologi. Hampir semua orang mempunyai telefon pintar.

"Kami biasanya memberi respons dalam tempoh 48 jam ke 72 jam. Menerusi aplikasi mudah ini, ia dapat membantu mempercepatkan kecekapan kami terhadap sesuatu isu dengan lebih segera daripada tempoh berkenaan," katanya ketika ditemui mStar Online pada majlis pelancaran aplikasi berkenaan di sini, Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Datuk Paul Selvaraj, Timbalan Presidennya, Muhammad Shaani Abdullah dan Pengarah Komunikasi, Mohd Yusof Abdul Rahman.

Aplikasi yang dikenali sebagai 'Fomca' itu dibangunkan oleh syarikat penyedia teknologi, ITWIZ Sdn Bhd dan mempunyai lima elemen penting merangkumi aduan, berita, kempen, penerbitan dan latar belakang Fomca.

Selain itu, aplikasi berkenaan akan mengemas kini sebarang berita mengenai isu pengguna atau pendirian daripada Fomca.

Marimuthu berkata, aplikasi tersebut adalah percuma dan ia boleh digunakan untuk semua telefon pintar yang menggunakan sistem Android, manakala sistem iOS bagi pengguna iPhone pula dijangka dapat digunakan menjelang Januari tahun depan.

“Pengguna boleh membuat aduan dengan mudah menggunakan aplikasi ini. Mereka boleh mengambil gambar (berkaitan dengan isu kepenggunaan) dan menghantarnya segera kepada Fomca,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Fomca menerima secara purata antara 14,000 dan 15,000 kes dalam pelbagai isu setiap tahun, menyebabkan aplikasi mudah alih amat diperlukan untuk mempertingkatkan pengendalian kes dengan lebih lancar.

"Saya tahu ia mungkin dilihat sebagai bebanan, tapi itu adalah tanggungjawab kami dalam membantu orang ramai menyelesaikan masalah kepenggunaan,” katanya.

Ditanya adakah aplikasi ini akan menyebabkan aduan dan kes kepada Fomca semakin meningkat, Marimuthu berkata: "Ya, bukan setakat berganda, tetapi mungkin tiga sehingga 10 kali ganda. Apa-apa pun, kami bersedia menanganinya."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan