Pos Malaysia Tawar Proton Preve Sempena Peraduan Senang Menang@POS

Diterbitkan: Isnin, 17 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memikat lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatannya, Pos Malaysia menawarkan sebuah kereta Proton Preve 1.6AT dan beberapa hadiah menarik menerusi peraduan Senang Menang@POS.

Pelanggan yang melakukan sebarang transaksi di mana-mana 704 cawangan Pos Malaysia dan pos bergerak akan berpeluang menyertai peraduan tersebut yang akan diadakan selama 10 minggu bermula pada Isnin.

Setiap pelanggan perlu mengisi borang peraduan yang akan diterima selepas membuat transaksi di pejabat pos, menyelesaikan carian perkataan dan mencipta slogan kreatif sebelum menghantar borang itu berserta setem 30sen sebelum 24 Februari depan.

Selain hadiah utama sebuah kereta Proton Preve dan lima hadiah saguhati berupa motosikal Modenas CT110, peserta turut berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM13,000 setiap minggu sepanjang tempoh peraduan itu.

Wang tunai RM3,000 akan diberikan kepada pemenang utama mingguan manakala 20 pelanggan berpeluang memenangi RM500 setiap minggu.

Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Mohd Shukrie Mohd Salleh pada Isnin berkata, peraduan itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai pelbagai perkhidmatan yang disediakan Pos Malaysia.

Peraduan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia, penduduk dan pekerja asing dengan nombor kad pengenalan, telefon dan pasport yang sah.

Pelanggan dibenarkan untuk menghantar seberapa banyak borang peraduan tetapi hanya satu borang akan diberikan untuk setiap transaksi.

Peraduan akan berakhir pada 24 Februari depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan