Kerajaan Tidak Cadang Tubuh Dana Pusingan Bantu Usahawan Disenarai Hitam

Diterbitkan: Isnin, 17 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mewujudkan dana pusingan bagi membantu belia dan usahawan yang disenarai hitam, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim berkata kerajaan melalui Bank Negara melaksanakan beberapa langkah dan prosedur awal untuk membantu belia dan usahawan mengatasi masalah itu.

Beliau berkata individu yang menghadapi masalah membayar balik pembiayaan disebabkan kesulitan aliran tunai dinasihat berbincang dengan institusi kewangan terbabit bagi menyusun atau menjadual semula pembiayaan mereka.

"Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ditubuhkan Bank Negara pada 2006 untuk menyediakan khidmat kaunseling dan bantuan kepada pengguna dalam penjadualan semula pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, sewa beli dan kad kredit.

"Selain itu, Skim Penyelesaian Kecil (SDRS) ditubuhkan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi masalah pinjaman tak berbayar (NPL) dengan institusi kewangan," katanya menjawab soalan Senator S.Bagiam.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata sehingga 30 November lepas, 178 projek perumahan swasta terbengkalai di seluruh negara.

Menjawab soalan Senator Baharudin Abu Bakar, katanya daripada jumlah itu, 113 projek (63 peratus) telah siap atau selesai, 56 projek (32 peratus) sedang berada dalam pelbagai peringkat pemulihan dan baki sembilan projek (lima peratus) masih di peringkat perancangan awal pemulihan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan