Amal Kesederhanaan Dan Berpegang Pada Kepercayaan Masing-Masing - PM

Diterbitkan: Ahad, 16 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat mengamalkan kesederhanaan dan pada masa yang sama berpegang kepada kepercayaan masing-masing.

Beliau berkata perbezaan kaum dan agama bukan merupakan sebab masyarakat berpecah-belah tetapi berpunca daripada kalangan mereka yang terlalu taksub dengan amalan mereka.

"Kita ada ekstremis Islam dan kita juga ada ekstremis Kristian, tetapi masalahnya bukan berpunca daripada agama. "Walaupun kita mempunyai perbezaan dalam pegangan agama kita, agama kita berkongsi nilai-nilai baik yang membolehkan kita hidup bersama sebagai rakyat Malaysia. "Saya percaya jika anda seorang Islam yang baik, anda akan disukai oleh orang bukan Islam. Begitu juga dengan penganut agama Kristian. Jika anda penganut Kristian yang baik, anda juga akan disukai oleh bukan penganut Kristian," katanya pada majlis makan tengah dengan Jawatankuasa Gereja-Inter Sandakan di sini, Ahad. Najib menjelaskan sebab beliau mengilhamkan konsep 1Malaysia ialah untuk menyediakan asas bagi toleransi yang akan membawa kepada penerimaan dan peluang untuk rakyat meraikan perayaan berbeza.

"Apabila kita dapat meraikan perayaan kaum lain, ini bermakna kita dapat menerima kepelbagaian cara hidup di Malaysia," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur majlis itu, Charles O. Pang, berkata sambutan Krismas peringkat kebangsaan, diperkenalkan pada 2008, merupakan platform baik untuk menggalakkan persefahaman bersama di kalangan rakyat berbilang kaum dan kebudayaan.

"Sesetengah orang tidak percaya, sebuah negara berbilang kaum dan kebudayaan seperti Malaysia boleh kekal bersatu dan bertamadun, dan mereka mahu menghalang kejayaan kita.

"Apabila kita bersama-sama menyambut perayaan seperti Krismas, kita sebenarnya menghantar mesej kepada mereka, mengenai betapa utuhnya kita untuk kekal bersatu," katanya.

Sementara itu, wakil jawatankuasa itu, Pastor Antonio Pang, mengucapkan terima kasih kepada Najib dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman atas sokongan mereka terhadap kebebasan beragama di Malaysia, tidak terkecuali di Sandakan. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan