Sultan Pahang Dianugerah Ijazah Doktor Kehormat

Diterbitkan: Sabtu, 15 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada Sabtu dianugerah Ijazah Doktor Kehormat Falsafah dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing pada majlis konvokesyen 2012 universiti itu di Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Anugerah itu disampaikan Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, yang juga canselor universiti itu.

Anugerah itu adalah sebagai mengiktiraf sumbangan besar Sultan Ahmad Shah dalam membangunkan kesejahteraan sosio-ekonomi negeri Pahang sepanjang 38 tahun baginda memegang takhta negeri paling besar di Semenanjung Malaysia itu.

Selain itu, Sultan Pahang juga dikenali atas sumbangannya dalam bidang sukan, antaranya sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak tahun 1984 dan presiden Persatuan Bolasepak Asia sejak tahun lepas.

Bertitah di hadapan lebih 1,000 graduan dari 56 negara di PICC, Sultan Ahmad Shah melahirkan rasa besar hati baginda atas anugerah itu, dan bangga kerana terdapat institusi di Malaysia yang membolehkan generasi muda dari seluruh negara mengembangkan kemahiran yang mereka perlukan untuk membina kehidupan lebih bermakna.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Seramai lapan graduan menerima Anugerah Canselor dan tujuh lagi Anugerah Datuk Seri Najib Tun Razak untuk Kreativiti dan Inovasi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan