Mahasiswa Bebas Ikut Aktiviti Politik Di Luar Kampus - Khaled Nordin

Diterbitkan: Sabtu, 15 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) bebas melibatkan diri dalam aktiviti parti-parti politik di luar kampus termasuk menjadi calon pilihan raya umum, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada Jumaat.

Beliau berkata ini berikutan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang membenarkan penglibatan mahasiswa secara langsung dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus tanpa sebarang sekatan.

"Kalau rasa yakin boleh menang (dalam pilihan raya), pelajar boleh menjadi calon mana-mana parti. Ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada mahasiswa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemimpin Pelajar 2012 dan pelancaran Program Pensijilan 1Citizen di sini.

Mohamed Khaled berkata langkah membenarkan pelajar menjadi calon pilihan raya menunjukkan kepercayaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap kemampuan dan keupayaan mahasiswa berfikir, bertanggungjawab serta membuat keputusan dengan matang demi menentukan masa depan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelajar tidak dibenarkan langsung membawa politik mana-mana parti ke dalam kampus.

Mohamed Khaled turut menyaran mahasiswa supaya mempertahankan keharmonian kampus sebagai entiti bebas politik kepartian dan kekal neutral bagi mencapai aspirasi dan matlamat pendidikan serta tujuan keberadaan di IPT.

"Persekitaran kampus yang neutral perlu dipelihara untuk melahirkan mahasiswa yang dapat memperluas dan meneroka daya pemikiran yang kritikal, membina minda dan keupayaan intelektual mereka sendiri sekali gus dapat menerapkan budaya kesarjanaan di kalangan mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT merupakan wahana pembangunan dan penjenamaan fungsi, peranan serta kaedah strategik bagi meningkatkan kecekapan, tanggungjawab dan hala tuju pemimpin pelajar IPT di negara ini.

Program Pensijilan 1Citizen merupakan pogram latihan yang dibangunkan khas untuk memupuk perpaduan negara dan masyarakat pelbagai kaum melalui penggunaan teknologi secara berhemah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan