KDN Kekal Pencapaian Melebihi Sasaran Bagi Permohonan Daftar Lewat Kelahiran

Diterbitkan: Sabtu, 15 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya mengekalkan pencapaian melebihi sasaran dengan purata 99.8 peratus bagi pengurusan permohonan daftar lewat kelahiran pada tahun ini.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata selain itu, secara purata sebanyak 98.54 permohonan permit masuk di Semenanjung Malaysia diproses dalam tempoh ditetapkan dan semua permohonan yang diterima di Sabah dan Sarawak setelah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri, telah diselesaikan di peringkat kementerian.

"Pencapaian terkini Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi permohonan kewarganegaraan setakat Januari-Oktober tahun ini adalah sebanyak 85 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sejak 2010, KDN menetapkan setiap permohonan kewarganegaraan dan permit masuk yang rasmi dan lengkap diproses dalam tempoh maksimum setahun di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak, tempoh pemprosesan maksimum tiga bulan ditetapkan sebaik menerima perakuan dari pihak berkuasa negeri.

Abdul Rahim berkata aktiviti khas di bawah program MyDaftar Kebangsaan turut dijalankan pada 2011 untuk mengesan serta menerima permohonan yang berkaitan seperti pendaftaran dan kewarganegaraan.

Beliau berkata langkah itu berikutan aduan terdapat individu yang masih mempunyai masalah dokumen pengenalan diri, khususnya di kalangan masyarakat berketurunan India dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah menjelajah ke sembilan negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang bagi tujuan tersebut.

"Hasilnya, sebanyak 9,529 permohonan telah diterima di mana 4,543 melibatkan permohonan kewarganegaraan, daftar lewat kelahiran (1,459), permohonan kad pengenalan (761), perkahwinan (222), pindaan maklumat sijil lahir (71), anak angkat (1) dan sebanyak 2,472 borang yang dikeluarkan telah tidak dikembalikan, yang melibatkan pertanyaan serta khidmat rundingan.

"Daripada jumlah yang diterima, 6,590 permohonan telah lulus iaitu meliputi kewarganegaraan (4,155), daftar lewat kelahiran (1,459), kad pengenalan (682), perkahwinan (222), pindaan maklumat pada sijil lahir (71) dan anak angkat (1) manakala jumlah sebanyak 467 permohonan ditolak iaitu melibatkan 388 permohonan warganegara dan 79 permohonan kad pengenalan," katanya.

Abdul Rahim turut meminta pihak yang ingin memohon taraf kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran agar menggunakan saluran yang betul iaitu hadir sendiri di JPN untuk mengisi borang kerana kementerian tidak dapat memproses permohonan melalui surat atau cara lain yang tidak disertakan dokumen wajib kerana ia tidak memenuhi peraturan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi KDN di talian 03-8886 8000 atau layari www.moha.gov.my dan www.jpn.gov.my. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan