DAP Tayang Klip Video 'Ubah Rocket Style' Lagu Tema Kempen Pilihan Raya

Diterbitkan: Sabtu, 15 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Perwakilan dan pemerhati Kongres Kebangsaan ke-16 DAP pada Sabtu dipertontonkan klip video "Ubah Rocket Style", lagu tema yang akan digunakan bagi membantu kempen parti itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Klip video parodi tarian 'kuda' lagu popular Oppa Gangnam Style, nyanyian Psy dari Korea Selatan, menyentuh beberapa perkara seperti masalah jenayah jalanan, kenaikan harga barang dan beberapa isu lain.

Klip video berunsur komedi selama 3.39 minit itu, memaparkan maskot burung nuri bergambar roket di dada, yang antara lain memperdengarkan lirik sinis, memperlekeh pasukan penguatkuasa keselamatan, menghina isteri pemimpin, selain menonjolkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng beraksi bersama Nuri melaungkan "Ubah Rocket Style".

Klip itu yang sudah dimuat turun di laman sosial You Tube ditayangkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selepas ucapan dasar Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP.

DAP pada Sabtu antara lain mahu tambahan tiga kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya akan datang sebagai tanda setia kawan antara DAP dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

Kongres yang menyaksikan pemilihan parti itu bagaimanapun tidak dihadiri pemimpin tertinggi PAS dan PKR.

Kedua-dua parti hanya diwakili oleh Setiusaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar serta Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan