Sistem Penarafan Khas Untuk Nilai Kebersihan Masjid, Surau Diperkenal

Diterbitkan: Selasa, 11 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dinilai kebersihannya melalui satu sistem penarafan khas bagi meningkatkan kemuliaan institusi ibadat itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, masjid adalah tempat suci bagi agama Islam tetapi ada masjid atau surau yang tandasnya tidak terjaga dan rosak.

"Sistem ini akan mula berjalan pada 1 Januari depan. Dengan adanya garis panduan seperti ini Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan akan mengetahui kedudukan kebersihan surau-surau dan masjid kita," katanya kepada pemberita semasa majlis perasmian Konvensyen Profesionalisme Pengurusan Masjid/Surau di sini, Selasa.

Katanya, sistem ini akan membolehkan pihak berkuasa menilai sama ada tahap kepuasan pelanggan atau jemaah sudah sampai ke tahap yang sepatutnya.

"Selepas kita memperkenalkan sistem ini, kita mahu para imam dan ahli jawatankuasa masjid dan surau kita balik dan membuat penilaian ke atas masjid dan surau masing-masing serta membuat penambahbaikan," katanya.

Sistem ini akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat bermula dengan 56 buah masjid di ibu negara dan akan diberi penarafan sama ada 4 bintang (cemerlang), 3 (baik), 2 (dalam perhatian) atau 1 (lemah).

Beliau juga mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu meningkatkan tahap kemudahan dan kebersihan masjid-masjid dan surau di ibu negara sebelum sistem penarafan itu dilaksanakan sepenuhnya.

"Untuk menghargai jasa dan pengorbanan imam-imam masjid serta ahli jawatankuasa masjid dan surau di Wilayah Persekutuan, kerajaan juga akan beri imbuhan RM910,350 untuk dibahagikan kepada mereka," katanya.

Beliau juga mengumumkan pemberian hadiah lumayan berbentuk Proton Preve kepada Johan Tilawah al-Quran Kebangsaan untuk tahun depan bagi mengimbangi anugerah mewah yang banyak diperolehi oleh ahli-ahli sukan dan juara rancangan hiburan.

Sebelum ini, kerajaan telahpun memberi elaun RM2,000 seumur hidup untuk johan Tilawah al-Quran antarabangsa.

Sebelum itu Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali dalam ucapannya sempat menegur ahli jawatankuasa di sesetengah masjid dan surau yang gagal mengambil berat kebersihan dan kerosakan tandas milik mereka.

"Terdapat di sesetengah tempat, mereka tidak mengambil inisiatif sendiri untuk membaik pulih kerosakan tersebut dan sebaliknya mengharapkan tindakan pembaikan dari pihak berkuasa seperti Jawi dan MAIWP," katanya.

Sedangkan, pihak masjid boleh menggunakan peruntukan Tabung Masjid untuk membaiki kerosakan tersebut, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan