Pesan Cikgu Seman: Jangan Sabotaj Parti Jika Tidak Dipilih Jadi Wakil Rakyat

Diterbitkan: Isnin, 10 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JASIN: 'Cikgu' Seman Deros yang digelar anggota setia Umno oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2012 baru-baru ini, berkata beliau tidak pernah berasa kecewa apatah lagi cuba mensabotaj parti kerana tidak berpeluang menjadi wakil rakyat.

"Dalam perjuangan, saya bukan mengejar menjadi wakil rakyat tetapi yang lebih penting saya perjuangkan agama, bangsa dan negara. Mereka yang terpilih menjadi wakil rakyat pula saya lihat memikul amanah itu. "Jadi saya tidak perlu berasa kecewa," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Pulai di sini.

Seman menjadi terkenal selepas disebut berulang kali oleh Presiden Umno dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan agung parti itu sebagai orang yang setia kepada parti, walaupun tidak pernah menjadi wakil rakyat, namun tetap cinta dan komited kepada Umno.

Seman yang menganggotai Umno sejak 1962, dan dipanggil cikgu kerana berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran, tidak pernah terpilih bertanding mewakili Umno dan Barisan Nasional (BN) walaupun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam tempat beliau menabur bakti.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada perasmian Kedai Rakyat 1Malaysia di Taman Serkam di sini baru-baru ini. Seman melihat kepercayaan rakyat terhadap Umno selama ini ditunjangi kewibawaan pemimpin-pemimpin parti itu dalam memperjuang nasib rakyat, membangunkan negara dan menegakkan syiar Islam.

Beliau yakin kepemimpinan Umno yang kini diterajui Najib akan memilih calon yang benar-benar mencurah keringat demi kepentingan rakyat negara ini.

"Jadi apa salahnya rakyat memilih Umno dan BN mentadbir untuk 100 tahun lagi kalau pemimpin yang ada semakin baik dan mampu membawa Malaysia terus maju dan aman," tegasnya.

Oleh itu Seman turut menasihatkan anggota Umno khususnya yang bercita-cita menjadi calon pada pilihan raya umum nanti supaya taat serta menghormati keputusan pemimpin selain ikhlas dalam perjuangan dan bukannya mengejar pangkat dan kebendaan semata-mata. "Jangan kita melayakkan diri kita sendiri menjadi pemimpin, biar rakyat yang menentukannya," pesan Seman, ikhlas.

Ketua cawangan Umno Kampung Pulai sejak 1978 itu berkata anggota Umno yang ikhlas berbakti pasti menerima balasan yang setimpal.

Seman berkata antara usahanya untuk parti ialah mengumpul kira-kira 800 anggota Umno di cawangannya pada masa ini berbanding 170 orang 34 tahun lepas.

Baginya tiada yang lebih berharga daripada penghormatan tertinggi yang diterima apabila namanya disebut oleh presiden Umno di hadapan ribuan perwakilan pada perhimpunan agung parti itu.

"Saya amat bersyukur, inilah kerja Allah yang saya sendiri tidak menduga dan tidak pernah terfikir akan mendapat penghormatan sebegini," katanya.

Najib menyebut nama Seman apabila beliau berasa tersentuh melihat gambar Seman menangis di muka hadapan akhbar ketika menghayati ucapan dasar beliau pada hari perasmian perhimpunan itu.

Kini Cikgu Seman Deros menjadi seperti selebriti apabila ramai kenalan berkunjung ke rumah, menelefon dan mengucapkan tahniah dari jauh dan dekat.

Malah seorang rakan beliau yang berada di Australia turut mengucapkan tahniah kepadanya kerana diangkat anggota contoh parti Umno. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan