Bekalan Air Mentah Selangor Akan Susut Jika Tiada Sumber Baru

Diterbitkan: Isnin, 10 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selangor mungkin sudah hampir-hampir kekurangan bekalan air mentah jika sumber baharu masih tidak diteroka, tatkala mahu membekalkan air bersih mencukupi kepada kediaman, pejabat, restoran dan kilang di negeri itu, kata seorang penggubal undang-undang persekutuan.

Anggota Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata kerajaan Selangor perlu memastikan bekalan air mentah sedia ada seiring dengan jumlah penduduk dan pertumbuhan industri, kerana sebahagian bekalan air mentah yang ada sekarang tidak boleh dirawat dan diguna penduduk.

"Kenapa kita perlu kelirukan rakyat dengan menggambarkan kita ada bekalan mencukupi? Kita memang tahu tidak semua bekalan air mentah yang ada boleh dirawat kerana mungkin ada kandungan logam dan ini mungkin menyebabkan anda berbelanja besar untuk mendapatkan rawatan (perubatan)," katanya dalam satu temu bual.

Ong yang membidas kerajaan Selangor kerana tidak membentangkan 'angka meyakinkan' pada persidangan dewan undangan negeri sekali gus mengakhiri perbalahan mengenai air, berkata Selangor menghadapi dua isu air iaitu kekurangan bekalan air mentah dan kapasiti loji rawatan air.

"Anggota dewan undangan negeri pakatan pembangkang kata kita ada bekalan air mentah yang mencukupi kerana sekarang musim hujan dan semua empangan penuh. Hanya dengan mengatakan takungan penuh air tidak bermakna anda ada bekalan air mentah mencukupi. Kami mahu kerajaan negeri mengeluarkan statistik yang tidak bias agar tidak mengelirukan rakyat," kata ahli politik berpengalaman itu.

Katanya peranan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) adalah sekadar mengagihkan bekalan air terawat ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap bekalan air mentah yang disalur kepada loji rawatan.

Ong yang juga bekas Menteri Pengangkutan turut mempersoalkan keupayaan kerajaan negeri untuk memberi jaminan bekalan yang berterusan jika ia berjaya memiliki Syabas, tanpa membangunkan loji rawatan baharu dan tidak meneroka sumber bekalan air mentah baharu.

"Hanya dengan merombak atau mengawal hak pengurusan dan aset air syarikat konsesi, anda fikir kerajaan negeri boleh selesaikan krisis air dalam jangka panjang? Saya meraguinya," katanya.

Ong berkata projek loji rawatan air Langat 2 adalah antara program yang dirancang sebelum pilihan raya umum 2008 bagi menampung keperluan susulan pertambahan kilang dan kawasan industri, justeru pihak berkuasa negeri wajar melihat perkara itu secara objektif dan mencegah berulang krisis air pada 1997-1998.

"Saya rasa kerajaan negeri 'jual mahal' dengan kerajaan pusat, terutama apabila meletakkan syarat untuk memiliki hak pengurusan semua aset air termasuk Langat 2 (selepas siap), sebelum boleh bersetuju kepada pembinaan projek (Langat 2)," katanya.

Minggu lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air datuk Seri Peter Chin Fah Kui memberitahu Dewan Negara pembinaan projek Langat 2 sudah lewat 29 bulan dan kerajaan Selangor harus menarik balik arahan kepada pihak berkuasa tempatannya agar tidak memberi kelulusan kepada pelaksanaan 22 pakej tender berkaitan loji itu.

Menteri itu berkata projek tersebut sepatutnya sudah 68.95 peratus siap setakat Oktober, bukan pada 28.40 peratus sekarang.

Mengenai pengumuman kerajaan Selangor untuk membuka semula loji rawatan Bukit Jelutong sebagai projek perintis rawatan air berteknologi membran, Ong berkata rakyat belum melihat cadangan itu diterjemah kepada realiti dan amat penting bagi kerajaan negeri mengumumkan penemuan sumber air mentah baharu selain bekalan daripada Pahang.

"Mengenai air mentah Pahang, saya masih ingat kerajaan negeri sekarang kata kami tidak perlukannya, bermakna mereka mendakwa ada bekalan air mentah mencukupi. Akan tetapi ini tidak benar. Justeru bagaimana mereka mahu tangani situasi ini? Pada akhirnya anda harus berdepan dengan rakyat," katanya, menambah kapasiti 34 loji rawatan air sedia ada di negeri ini pada tahap optimum.

Pada September, Pahang dilapor mahu mempertimbang untuk membatalkan perjanjian bekalan air mentah dengan Selangor jika kerajaan negeri itu terus mempolitikkan isu tersebut.

Projek pemindahan air antara dua negeri itu akan menyaksikan 1,890 juta liter air mentah disalur dari Sungai Semantan di Pahang ke fasiliti rawatan air Hulu Langat di Selangor, setiap hari.

Ditanya mengenai kemungkinan kenaikan mendadak tarif air jika projek Langat 2 diteruskan seperti dirancang, Ong menjawab: "Itu bergantung kepada rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Saya tidak nampak sebab kenapa kerajaan negeri mahu menjadikan ini isu.

"Dengan menjadikan ini sebagai isu, mendakwa mereka perlu membayar tarif yang tinggi kerana Langat 2 adalah sama seperti 'belum duduk sudah berlunjur'," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan